Semua pihak perlu bersama tangani gejala buli di sekolah!
Ikatan Komuniti Selamat menggesa semua pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam membasmi budaya buli di sekolah.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan sokongan padu terhadap kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini, yang menekankan bahawa kes buli di sekolah tidak sepatutnya disembunyikan atau diabaikan.
"Kejadian buli di sekolah ialah ancaman serius yang boleh memberi kesan mendalam kepada mangsa termasuk trauma emosi, isu kesihatan mental dan prestasi akademik merosot.
"Ia bukan hanya menghancurkan masa depan individu, tetapi juga memupuk budaya keganasan yang bercanggah dengan teras nilai kemanusiaan dan pendidikan," katanya.
Pada Khamis, media melaporkan Fadhlina mengingatkan kepada pengetua, guru besar dan pentadbir sekolah supaya tidak menyembunyikan kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Bagi menangani gejala buli di sekolah dengan berkesan, Lee menekankan kepentingan tindakan segera dan meminta semua kejadian dilaporkan secepat mungkin kepada pihak berkuasa sekolah, ibu bapa dan penguat kuasa undang-undang.
Pentadbir sekolah katanya, perlu bertindak pantas dan adil terhadap pelaku tanpa sebarang berat sebelah, memastikan proses yang telus.
"Sistem sokongan harus diwujudkan di sekolah dengan mengambil lebih ramai kaunselor untuk membantu mangsa dan pelaku. Selain itu, saluran pelaporan sulit perlu disediakan untuk menggalakkan pelajar melaporkan sebarang kegiatan buli tanpa rasa takut akan pembalasan dendam," katanya.
Lam Thye menggesa sekolah untuk menjalankan program antibuli melibatkan pelajar, guru dan ibu bapa bagi meningkatkan kesedaran dengan menekankan kesan bahaya buli terhadap mangsa dan pelaku.
Beliau turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik seperti kafeteria, lorong dan bilik darjah, di samping peningkatan kehadiran guru semasa waktu rehat dan aktiviti luar untuk memantau interaksi pelajar dengan berkesan.
Lam Thye berkata, Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama dengan polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar psikologi untuk menangani kes buli secara menyeluruh, termasuk menangani isu buli siber yang semakin meningkat.
"Kami percaya pendekatan ini mencerminkan komitmen negara kita untuk mendidik generasi muda yang mementingkan integriti, saling menghormati dan berdaya tahan," katanya. - Bernama