dr zul
dr zul

Senator Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik Pengerusi LPU USIM

webadmin
02 Dec 2021 04:42pm
A
A
A

NILAI - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024.

USIM dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Zulkifli sebagai Pengerusi LPU USIM dipersetujui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mengambil kira kepimpinan dan pengalaman luas beliau dalam bidang agama, akademik dan pentadbiran.

"Pengurusan universiti mengucapkan tahniah kepada Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas pelantikan tersebut dan percaya dengan kepimpinan serta pengalaman luas yang dimiliki, beliau akan membawa USIM terus ke hadapan sebagai peneraju institusi pengajian tinggi (IPT) yang berteraskan integrasi ilmu ‘naqli' dan ilmu 'aqli'," menurut kenyataan itu.

Zulkifli dilahirkan di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu, pada 16 Januari 1969 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah pada tahun 1993.

Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat sarjana juga dalam bidang yang sama di Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997), seterusnya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fatwa dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2004.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang di USIM dari tahun 2006 hingga 2008 dan merupakan panel penasihat di fakulti yang sama sejak tahun 2013 sehingga kini.

Zulkifli yang juga Senator Dewan Negara, masih aktif dalam bidang penulisan dan membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selain sehingga kini telah menulis lebih 300 buah buku meliputi pelbagai bidang dalam Pengajian Islam. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok