Seram sejuk lihat angka 10,160 tak ambil SPM
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sudah pun diumumkan pada minggu lalu. Pelbagai kisah kejayaan dikongsikan calon-calon SPM di platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X dan Threads.
Akhbar-akhbar tempatan turut menyiarkan cerita-cerita gembira para pelajar untuk tatapan umum.
Di sebalik berita baik itu, negara dikejutkan dengan pendedahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa seramai 10,160 daripada 383,685 calon di seluruh negara tidak hadir menduduki SPM tersebut. Seram sejuk bila dengar kenyataan ini.
Dalam hati penulis, apalah nak jadi dengan anak-anak muda sekarang. Bagaimana mereka boleh terfikir untuk tidak mengambil SPM sedangkan mereka tahu peperiksaan itu penting untuk masa depan.
Namun difahamkan, antara punca calon tidak hadir peperiksaan adalah kerana sudah bekerja, berkahwin dan sesetengahnya sudah meninggal dunia.
Ini berdasarkan kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin yang mendedahkan, seramai 984 daripada 38,800 calon di negeri itu tidak mengambil SPM kerana alasan tersebut.
Pakar Sosiologi Pendidikan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, faktor lain ialah kerana pelajar menjadi usahawan kecil dan terbabit perniagaan atau pertanian keluarga, serta berpindah ke luar negara.
Namun, katanya, perkara itu sangat merunsingkan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Ujarnya, setiap sekolah mesti mempunyai sistem pemantauan berterusan sejak awal bagi kumpulan pelajar berisiko gagal akademik.
Perkembangan mereka mestilah dalam pemerhatian guru kelas, guru kaunseling dan guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Tidak semestinya fokus pelajar kepada aliran akademik semata-mata. Mungkin pilihan ke Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) lebih sesuai dengan minat mereka.
Penulis menerima sekiranya mereka tidak menduduki peperiksaan SPM disebabkan masalah kewangan, keluarga, peribadi atau kesihatan diri.
Dari satu sudut lain, penulis tidak bersetuju sekiranya ada yang tidak mengambil SPM kerana malas atau mahu menjadi pempengaruh di media sosial agar boleh hidup mewah dalam usia muda.
Satu ketika dahulu seorang pempengaruh berkongsi pandangannya dengan mengatakan sekolah dan SPM tidak penting buat pelajar.
Disebabkan pendapat dangkal itu, terikut-ikutlah generasi muda dengan pandangan beliau sehingga ada yang mula ponteng sekolah dan malas.
Justeru, penulis berharap agar KPM segera mencari solusi terhadap 10,160 calon SPM yang tidak hadir tersebut.
Carilah sehingga ke akar umbi penyebab kepada semua yang berlaku agar tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Yang pasti, kita tidak mahu melihat lebih ramai lagi yang tercicir menduduki SPM pada tahun ini.
Dalam berbicara berita yang tidak menyenangkan ini, SPM 2023 menunjukkan perkembangan positif kepada pendidikan di negara ini.
Seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022.
Antara yang menarik perhatian ialah apabila empat pelajar Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) turut mendapat keputusan membanggakan gred A, A dan A- dalam semua subjek.
Penulis tertarik dengan kata-kata salah seorang pelajar ini, mereka tiada kemudahan seperti sekolah lain dan tiada sumber rujukan mencukupi untuk belajar.
Memang sangat sukar sepanjang berada di sekolah berkenaan tetapi pelajar berusaha bangun setiap malam, bertahajud, solat hajat dan berdoa, selain fokus dengan impian untuk berjaya. Selebihnya, mereka berserah kepada ALLAH.
Lihatlah, meskipun ditempatkan di sekolah pemulihan, namun mereka tahu bahawa pendidikan adalah penting untuk membina masa depan lebih baik.