HomeBuletinSesi sekolah penggal ketiga 2021/2022 bagi kumpulan A bermula hari ini

Artikel Berkaitan

Sesi sekolah penggal ketiga 2021/2022 bagi kumpulan A bermula hari ini

KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan penggal ketiga, 2021/2022 bagi negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula hari ini (Ahad) dengan murid-murid dan pelajar sekolah kelihatan bersemangat dan ceria serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Sebelum ini, sesi penggal ketiga ditetapkan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B, namun ditangguhkan selama seminggu berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Hari ini, semua sekolah Kumpulan A telah beroperasi kecuali beberapa sekolah di Johor yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan terlibat dengan banjir.

Di Terengganu, seramai 240,000 pelajar telah memulakan sesi persekolahan hari ini merangkumi 140,000 murid di 352 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 100,000 pelajar di 153 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), menurut Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani.

“Semua sekolah dibuka hari ini dan semua murid mula bersekolah cuma ada yang hadir tanpa bergilir, dan ada secara bergilir serta ada yang masih Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan Bernama di SK Wakaf Mempelam di Kuala Terengganu kelihatan murid bersemangat ke sekolah dan tiba seawal 7 pagi dengan pematuhan SOP seperti memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Terdapat juga segelintir murid yang belum bersedia dan menangis sebaik tiba di pekarangan sekolah sehingga perlu dipujuk oleh ibu bapa dan guru.

Di Kedah, Pengarah Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad memaklumkan, seramai 281,721 pelajar telah memulakan sesi persekolahan hari ini merangkumi 174,995 murid di 548 sekolah kebangsaan dan 106,726 pelajar di 204 sekolah menengah.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah di Alor Setar mendapati rata-rata murid teruja untuk memulakan sesi persekolahan yang tergendala sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Ismaullah Ahmad, 40, berkata, anaknya Muhammad Qhalish, murid Tahun Tiga di SK Mergong tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan kali ini setelah lama membuat persediaan untuk kembali ke sekolah dengan membeli kelengkapan persekolahan seperti pakaian, buku dan alat tulis.

“Pagi ini, anak bangun awal kerana dia kata tidak sabar mahu ke sekolah untuk jumpa guru dan rakan-rakannya. Dia seronok kerana dapat belajar seperti biasa semula, semasa PdPR sebelum ini, memang nampak dia cepat hilang fokus dan ‘mood’ belajar memang kurang,” katanya.

Di Kelantan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, seramai 254,678 orang pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini, melibatkan 167,478 murid sekolah rendah dan 87,200 pelajar sekolah menengah.

Beliau turut meluangkan masa meninjau pengoperasian beberapa sekolah di sekitar Kota Bharu seperti SMK Sultan Ismail, SK Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi penggal ketiga, 2021/2022.

Di Johor, tinjauan Bernama di SK Bukit Mutiara di Johor Bahru serta dua di Segamat iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah dan SK Kampung Jawa yang sebelum ini dijadikan PPS, kelihatan kesemua murid bersemangat hadir ke sekolah dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Seorang bapa, Sharuddin Jaafar, 53, yang ditemui di SK Kampung Jawa berkata, buku sekolah anaknya yang merupakan murid Tahun Tiga dihantar ke PPS Dewan Loga, Segamat sebagai persediaan awal selepas rumahnya di Jalan Tasik dinaiki air.

“Setiap tahun memang kawasan ini banjir dan kita sudah buat persediaan dengan pindahkan buku-buku anak ke PPS sebelum rumah dinaiki air…Persiapan anak ke sekolah juga kita buat secara sederhana,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang berkata, sebanyak 23 sekolah di negeri itu yang dijadikan PPS iaitu masing-masing lapan di daerah Segamat dan Tangkak, Muar (lima) dan Batu Pahat (dua), manakala lapan sekolah lagi iaitu di daerah Tangkak (empat), Segamat (tiga) dan Muar (satu) yang  dinaiki air tidak beroperasi bagi penggal ketiga persekolahan yang bermula hari ini. – BERNAMA

Artikel Terkini