New Project (5)
New Project (5)

Setiap murid bakal terima RM150 bantuan awal persekolahan

Mohd Khairi Mohamad Yusri
30 Oct 2021 03:56pm
A
A
A

Sektor pendidikan terus kekal menjadi keutamaan pembangunan negara dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menerima peruntukan terbesar iaitu RM52.6 bilion mewakili 16 peratus daripada keseluruhan anggaran pembelanjaan Persekutuan.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM450 untuk bantuan awal persekolahan bagi tiga juta pelajar.

"Bagi tahun 2022, kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 iaitu meningkat berbanding RM100 sebelum ini.

"Sejumlah RM450 juta diperuntukkan untuk tujuan ini yang dijangka memanfaatkan tiga juta murid-murid yang layak," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan.

"Setiap awal tahun juga tentunya ibu bapa yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak dan sudah tentu peningkatan pemberian Bantuan Awal Persekolahan itu akan banyak membantu," katanya.

Dalam pada itu kerajaan turut bersetuju menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Zafrul berkata insentif itu diberikan bagi menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok