
Silat, usrah bantu cegah buli di sekolah - Mufti Pahang
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim mencadangkan agar sekolah memperkasa lingkungan sosial alternatif yang sihat dan membina seperti seni silat dan sistem usrah bagi mengekang isu buli dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, pendekatan itu mampu mengalihkan remaja daripada terjebak dalam kelompok toksik yang sering menjadi punca tingkah laku membuli.
"Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, bahkan ia membentuk perasaan kekeluargaan dalam kalangan ahlinya.
"Murid akan menerima bimbingan daripada guru yang mengajarkan bukan sahaja teknik bertempur, tetapi juga adab, tatasusila dan nilai budaya Melayu yang luhur, termasuk semangat patriotisme.
"Dalam jemaah seperti ini, kasih sayang dan keprihatinan sesama ahli menjadi benteng daripada berlakunya perbuatan buli," kata beliau dalam perkongsian di Facebook miliknya.
Ujarnya, sistem usrah antara senior dan junior juga boleh dijadikan wadah untuk membina hubungan yang sihat dan menyokong.
"Namun, pelaksanaannya perlulah berpaksikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak terpesong daripada landasan akidah dan manhaj yang sahih," jelasnya.
Dr Asmadi berkata, isu buli dalam kalangan remaja semakin membimbangkan apabila hampir setiap tahun negara dikejutkan dengan laporan kes buli di sekolah, malah ada yang membawa kepada kecederaan parah dan kehilangan nyawa.
"Realitinya, ramai remaja yang mahu berubah ke arah lebih baik, namun terperangkap dalam lingkungan atau jemaah yang toksik kerana kurang alternatif sosial untuk mereka sertai.
"Mungkin punca utama remaja sukar meninggalkan lingkungan toksik ialah kerana kebimbangan mereka akan menjadi 'kera sumbang' dan terasing di sekolah. Mungkin kita nampak kebimbangan ini remeh, tetapi hakikatnya ia adalah isu besar dalam dunia remaja," katanya.
Ujarnya lagi, tekanan rakan sebaya sangat kuat mempengaruhi psikologi dan pembentukan tingkah laku mereka.
Tambahnya, terdapat banyak lagi nilai dan sistem dalam budaya masyarakat yang boleh dihidupkan semula untuk membentuk jemaah yang sihat dalam kalangan pelajar.
"Budaya kita menekankan nilai prihatin, saling menghormati dan semangat kekitaan. Semua ini boleh menjadi teras kepada pembentukan lingkungan pelajar yang mencegah budaya buli dari akar umbi.
"Apapun, usaha mengatasi isu ini perlu berterusan dan menggembeleng kerjasama semua pihak, khususnya golongan pendidik dan ibu bapa," katanya.
WARTAWAN: ROSILAWATI ROSEDI