Silaturahim guru dan murid makin erat melalui program makan durian
Silaturahim guru dan murid makin erat melalui program makan durian

Silaturahim guru dan murid makin erat melalui program makan durian

Roshlawaty Md Raieh
14 Jul 2022 05:03pm
A
A
A

Kita sering menyaksikan anak-anak murid berlumba-lumba memberikan hadiah kepada cikgu yang disayangi ketika sambutan Hari Guru.

Tetapi kali ini, kita dapat saksikan warga pendidik pula mengambil peluang meraikan murid-murid dengan memberi mereka menikmati buah durian.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Muadzam Shah, Pahang, acara santai menikmati durian baru-baru ini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama warga sekolah yang terdiri daripada guru, staf sokongan dan juga murid-murid.

“Memandangkan sekarang adalah musim durian, maka timbul idea untuk kami menjadikan elemen makan buah durian sebagai wadah mengeratkan silaturahim sesama warga sekolah.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada semua terutamanya murid-murid yang cukup teruja kerana dapat menikmati raja buah tersebut,” kata Penolong Kanan Pentadbiran, Cikgu Haslizan Hasan kepada Sinar Bestari.

Beliau berkata, para guru sekolah berkenaan telah membuat sedikit sumbangan dan hasilnya berjaya membeli 300 kilogram buah durian untuk dinikmati bersama-sama.

“Saya begitu terharu kerana pihak pengurusan sekolah begitu prihatin dan amat menyokong program ukhuwah ini sebagai lambang bahawa murid dan guru berpisah tiada.

“Kami mahu setiap murid dapat menikmati rezeki ALLAH meskipun mungkin dalam kadar yang sederhana,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Pendidikan Islam, Ustaz Muhammad Farid Wajdie turut melahirkan rasa gembira kerana dapat bersama-sama murid dalam program santai anjuran sekolah.

“Pada saya, meskipun aktiviti begini nampak santai, tetapi secara tidak langsung ia tetap terselit satu pengajaran. Antaranya dapat mendidik anak murid agar bersyukur atas segala nikmat yang ALLAH kurniakan.

“Kami mahukan semua murid benar-benar sedar dan insaf bahawa bumi tempat kelahiran mereka ini begitu bertuah kerana ALLAH telah mengurniakan pelbagai nikmat seperti aneka jenis buahan tempatan.

“Ini amat jauh berbeza dengan nasib rakan-rakan mereka di negara lain yang sedang dilanda pergolakan. Jadi, kami mahu timbulkan rasa syukur mereka kepada ALLAH dan ini juga satu pembelajaran tidak langsung untuk murid-murid,” ujarnya.

Seorang murid Tahun Tiga, Fayyadh Suhail Fadzrol, melahirkan rasa gembira kerana berkesempatan menikmati buah durian yang sangat disukainya.

“Saya dan rakan-rakan amat teruja dan berterima kasih kepada guru-guru kerana menyediakan banyak buah durian untuk kami. Terima kasih cikgu,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Peranan Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak lahirkan modal insan holistik

Jadikan kelas sentiasa ceria, ini 9 ciri yang wajib guru ada. Pasti berkesan!

253 murid terima watikah pelantikan, ikrar jalankan tugas dengan amanah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok