Siti Dhia Batrisyia selamat, ditemui jalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai.
Siti Dhia Batrisyia selamat, ditemui jalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai.

Siti Dhia Batrisyia selamat, dijumpai 2.28 pagi oleh anggota polis

17 Mar 2024 12:34pm
A
A
A

KUALA LUMPUR: Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Pudu 1, Kuala Lumpur, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar yang hilang sejak 12 Mac lalu, ditemukan selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai, pada 2.28 pagi tadi.

Siti Dhia Batrisyia dijumpai oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dan Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai kemudiannya terus memaklumkan kepada ibu mangsa, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili.

“Siti Dhia Batrisyia telah diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya,” katanya seperti dipetik menerusi Bernama.

Terdahulu, Syarifah Rosfazila telah berkongsi berita melegakan itu di laman Facebooknya pada jam 6.45 pagi tadi.

"Allahuakbar...ALLAH Maha Besar. Dengan segala doa-doa serta pertolongan daripada semua orang, anak saya, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, telah dijumpai dengan selamat. Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi," tulisnya.

Jumaat lalu, Sinar Bestari menyiarkan tentang Siti Dhia Batrisyia yang dilaporkan hilang dari kediaman mereka di Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng, di sini.

Kejadian kehilangan itu dikongsi SK Perempuan Pudu 1 di laman rasmi Facebook sekolah.

Menurut beberapa laporan media, punca Siti Dhia Batrisyia keluar dari rumah disebabkan berlakunya perselisihan faham antara dia dan ibu (Syarifah Rosfazila).

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok