Penat guru hilang kerana murid!
Kerjaya guru sering menjadi cita-cita utama majoriti individu hari ini.
Kata mereka, minat mendalam adalah faktor utama mengapa mahu berkecimpung dalam dunia pendidikan.
Selain itu, profesion guru yang mencabar dan hanya mereka yang berani, kental serta ikhlas turut menjadi sebab golongan tersebut bergelar cikgu.
Bagi Teacher Fara, menjadi pendidik memang penat namun demi murid, letih itu tiba-tiba hilang.
“Memang secara hakikatnya orang nampak ‘penat’ sebab mengajar banyak kelas.
“Tapi sejujurnya terasa mudah banyak bila mengajar pelajar yang memang dah terbiasa belajar Sains dan Matematik,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook, pada Rabu.
Untuk mengetahui kisah panjang Teacher Fara sebagai guru, jom Sinar Bestari bawakan perkongsian indah beliau sejak bergelar pendidik.
Ini momennya!
*****
Masa kecil-kecil dulu rasa biasa dan tak berapa faham sangat bila nampak cikgu bersungguh-sungguh mengajar kita yang bergelar anak didik.
Masa demam pun sanggup datang mengajar.
Bukan setakat demam
Paling menyayat hati, masa saya sekolah menengah dahulu, ada seorang guru diuji dengan kanser yang sampai menjejaskan suara dia. Dengan keadaan macam itu pun, gigih lagi ke sekolah untuk mengajar sambil pakai alat bantuan suara.
Alat itu bukan kecil tau, tapi besar.
Sebak bila terbayang balik.
Sekarang ini bila dah besar, bila diri sendiri ditakdirkan jadi guru baru faham. Tak tahu macam mana nak huraikan (describe), tapi sekali (once) dah jadi pendidik kita ada satu perasaan yang apa-apa mesti terfikirkan pelajar (student) dulu.
Kalau ada bahagian pelajar tak faham
Kita yang terfikir lebih.
Kalau dekat sekolah dulu
Memang mengajar Sains, Biologi & Kimia.
Tapi untuk kelas tuisyen
Kenapa buat juga kelas Matematik Tingkatan Satu hingga Tiga?
Bukan ‘sebab boleh dik’
Tapi sebab nak pantau (monitor) dan mantapkan konsep asas Matematik pelajar siap-siap sebelum mengajar mereka subjek Sains dan Kimia Tingkatan Empat.
Sebab tahu dah,
Kalau tak pantau dari awal,
Bukan pelajar sahaja berjuang.
Kita pun rasa nak menangis sebab nak kena ulang ajar balik asas konsep Matematik masa mengajar Kimia Tingkatan Empat dan Lima.
Sudahlah nak kejar silibus lagi, nak fahamkan konsep lagi. Memang bergegar otak nak cover semua
Jadi, dari nak menangis kemudian.
Baik jaga siap-siap masa Tingkatan Satu.
Dan sejujurnya, selepas beberapa tahun amalkan konsep pantau dari awal dengan buka kelas tuisyen, memang secara hakikatnya orang nampak penat sebab mengajar banyak kelas.
Tapi sejujurnya terasa mudah banyak bila mengajar pelajar yang memang dah terbiasa belajar Sains dan Matematik dengan kita dari Tingkatan Satu.
Senang sebab konsep asas dah kukuh, nota pun dah ada dan mereka pun sudah sedia maklum topik mana yang mereka akan sambung belajar balik semasa di Tingkatan Empat dan Lima.
Jadi bolehlah tarik nafas panjang sikit sebab tak kena ulang konsep yang lebih rendah.