NSC 2
NSC 2

SMJK Jit Sin juara National Science Challenge 2022, bakal ikuti lawatan sambil belajar ke Jepun

Roshlawaty Md Raieh
04 Nov 2022 09:15am
A
A
A

Pasukan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara National Science Challenge (NSC) 2022 yang baharu sahaja melabuhkan tirai bagi edisi tahun ini.

Selaku juara, SMJK Jit Sin yang dianggotai tiga pelajar iaitu Nah Wayne, Soo Yi Xiang dan Chong Yong Zhi membawa pulang Piala Cabaran Pusingan Perdana Menteri, komputer riba, lawatan sambil belajar ke Jepun, Biasiswa Pendidikan Akademi Sains Malaysia (ASM)-NSC dan sijil pencapaian.

Kemenangan SMJK Jit Sin ini telah diumumkan dalam pertandingan peringkat akhir NSC 2022 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.

NSC merupakan salah satu inisiatif Akademi Sains Malaysia (ASM) yang telah dilaksanakan sejak 1999.

Program ini merupakan satu pertandingan sains yang bertujuan untuk memupuk minat dalam kalangan para pelajar sekolah menengah untuk mendalami bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selain menyemai minat mereka untuk memilih kerjaya dalam bidang-bidang kritikal ini.

Sebanyak 3,895 pasukan membabitkan 11,685 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun daripada sekolah menengah di seluruh negara menyertai NSC 2022 yang mengetengahkan tema ‘Masa Depan Lestari Melalui Kesihatan Planet’ berteraskan STI.

Bagaimanapun, hanya lima pasukan sahaja yang layak ke peringkat akhir dan sekolah tersebut terdiri daripada SMJK Jit Sin (juara); Cempaka International School Damansara; SMK Ave Maria Convent, Ipoh, Perak; Pusat Genius@Pintar Negara dan SMK Methodist, Sibu, Sarawak.

Barisan pemenang tempat pertama hingga kelima menerusi pertandingan NSC 2022 yang diadakan di UTM.

Bagi tempat kedua dan ketiga, ia dimenangi pasukan dari Cempaka International School Damansara dan SMK Ave Maria Convent.

Manakala tempat keempat dan kelima pula, menjadi milik Pusat Genius@Pintar Negara dan SMK Methodist.

Setiap pemenang membawa pulang gajet IT, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian setiap seorang.

Pendekatan lebih kreatif dan inovatif

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba menekankan pendekatan lebih kreatif dan inovatif amat digalakkan dalam pembelajaran subjek STEM.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan Malaysia melahirkan lebih ramai pereka cipta dan inovator tempatan berkualiti pada masa akan datang yang mampu memacu ekonomi negara berasaskan inovasi.

“Negara-negara maju mengamalkan pendekatan pembelajaran melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembelajaran amali bermula dari peringkat awal pendidikan.

Adham Baba

“Pembelajaran STEM perlu mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan penerokaan terbuka,” katanya ketika berucap di Peringkat Akhir NSC 2022.

Dalam ucapan itu juga, Adham turut melahirkan rasa bangganya kerana Malaysia mempunyai ramai bakat STEM muda yang telah mengharumkan nama negara.

“Suka saya kongsikan pencapaian cemerlang tiga pelajar Malaysia di pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Mereka ialah Matthew Wong Rong Cheng dari Sekolah Kebangsaan (SK) Cina Anglo Chinese, Kota Kinabalu, Sabah; Ezzati Hanis Khairuzzaman dan Zahirah Muzamir, masing-masing dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.

“Besar harapan saya agar kejayaan tiga pelajar ini dapat memberi inspirasi kepada semua pelajar lain untuk turut aktif dalam mendalami bidang STEM,” tutur Adham.

Sebelum itu, pencapaian cemerlang Matthew boleh dilihat menerusi penerimaan Anugerah Emas bagi dua pertandingan iaitu Singapore and Asian Schools Math Olympiad (SASMO) dan Benedict Goh Malaysia Schools Mathematics Championship 2021.

Manakala Ezzati Hanis mewakili Malaysia dalam Program Broadcom MASTERS® International yang diadakan bersempena Regeneron International Science Fair (ISEF) 2022 di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat dan dianugerahkan ‘Class Speaker Award’ atas penglibatan aktif beliau.

Bagi Zahirah pula, dia melakar kejayaan dalam bidang inovasi di peringkat antarabangsa dengan menghasilkan tampalan penyejukan organik dan menerima pengiktirafan Anugerah Emas dan Anugerah Khas di Korea International 2022 11th World Invention Creativity Olympics Award.

Asma (kiri) menyampaikan ucapan ketika pertandingan NSC 2022.

Platform memupuk minda saintifik

Presiden ASM, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail yang turut memberi ucapan berkata, ASM menganjurkan Pertandingan NSC sejak 1999 bagi menyediakan platform memupuk minda saintifik dan minat dalam bidang STEM dalam kalangan generasi muda.

Beliau yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi Negara memaklumkan pertandingan itu menjadi antara satu kuiz sains kebangsaan utama dalam kalangan pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Empat di Malaysia.

“Saya percaya hasil inovasi yang dibangunkan oleh bakat-bakat muda dalam pertandingan akhir NSC 2022 ini menjadi titik pemula untuk generasi muda mula menyumbang idea kreatif bagi penyelesaian kepada Kesihatan Planet.

“Saya berharap bakat-bakat muda ini akan dapat menjadi pelapis dan pemacu STI negara kita di masa hadapan serta memastikan usaha Kesihatan Planet yang lestari melalui STI,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Inovasi e-Waze rangkul 3 anugerah di iCAN 2022 

Kreatif bangunkan inovasi e-gamifikasi membolehkan Cyber Squad muncul juara MKBC’22

4 pelajar bangunkan inovasi yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok