pemenang
pemenang

Solve for Tomorrow 2021 dilancarkan, pupuk pelajar selesai masalah menggunakan STEM

Mohd Khairi Mohamad Yusri
14 Jul 2021 05:04pm
A
A
A

Samsung Malaysia hari ini sekali lagi bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dan disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menganjurkan pertandingan Solve for Tomorrow 2021.

Pertandingan ini dirancang untuk meningkatkan minat dan kecekapan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan mencabar para pelajar untuk menggunakan STEM bagi membantu menyelesaikan permasalahan komuniti setempat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Professor Dr Noorsaadah Abd Rahman menyatakan bahawa UM sangat gembira dalam kerjasama ini yang bakal memberi peluang pembelajaran menarik buat para pelajar.

“Kami yakin pertandingan ini akan mencetuskan kreativiti, rasa ingin tahu dan pemikiran inovatif buat semua pelajar di Malaysia,” katanya.

(dari kiri) Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia, Dato’ Roh Jae Yeol dan Ketua Pusat STEM UM, Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar
(bawah) Host program, Shaun Stephen

Sementara itu, Ketua Pusat STEM UM, Ir Dr Mas Sahidayana Mohktar pula berkata, pertandingan ini adalah platform yang mampu memupuk pemikiran inovatif, penyelesaian masalah secara kreatif dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat seterusnya membantu mereka mengembangkan kemahiran insaniah (soft skill).

Menurut beliau, para peserta ini bakal berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada pakar-pakar yang berpengalaman dalam pelbagai bidang STEM di UM.

“Program ini juga akan menyediakan bengkel pendidikan menarik dalam talian yang dikendalikan oleh pihak STEM UM sekali gus membimbing 10 pasukan yang disenarai pendek mengenai cara mereka meningkatkan idea untuk terus maju ketika di fasa dua dan fasa tiga kelak.

“Saya percaya cara terbaik untuk memastikan pelajar kita mempunyai masa depan yang cerah adalah dengan memberi mereka mekanisme yang tepat melalui STEM,” ujar beliau.

 

Tema Solve for Tomorrow 2021

Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia, Datuk Roh Jae Yeol percaya dengan menyediakan pendidikan untuk generasi akan datang, mereka mampu untuk mencapai potensi penuh dan menjadi pelopor perubahan sosial yang positif dalam membina dunia yang lebih baik untuk semua.

“Kami di Samsung sentiasa menyokong program STEM kerana berharap ia dapat memberi inspirasi dan mendorong lebih ramai pelajar untuk mengambil bahagian dalam kerjaya yang mencabar dan bermanfaat membabitkan bidang STEM.

“Ketika ini, kira-kira 75 peratus kerjaya yang paling pesat berkembang adalah daripada industri yang sangat bergantung kepada kemahiran STEM,” ujar beliau.

Pertandingan ini terbuka kepada pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua di semua sekolah menengah kebangsaan yang berdaftar dengan KPM bagi memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti STEM dan meningkatkan pengalaman pembelajaran.

Pemenang-pemenang pertandingan ini akan membawa pulang hadiah kemenangan yang berupa produk keluaran Samsung untuk untuk sekolah dan diri sendiri.

Pasukan pemenang tempat pertama bagi Solve for Tomorrow 2020

Pasukan pemenang tempat pertama akan menerima barangan-barangan keluaran Samsung yang bernilai sehingga RM30,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula, masing-masing akan menerima barangan bernilai sehingga RM25,000 dan RM20,0000.

Hadiah saguhati turut akan diberikan kepada pasukan yang mendapat dua tempat terakhir iaitu barangan bernilai sehingga RM6,600.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok