Muhammad Asyraf. Kredit foto: Berita RTM
Muhammad Asyraf. Kredit foto: Berita RTM

SPM 2023: Johan hafazan 1 hingga 20 juzuk dapat 12A

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
30 May 2024 10:22am
A
A
A

Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi kategori hafazan 1 hingga 20 juzuk, Muhammad Asyraf Amir memperoleh keputusan cemerlang 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Beliau yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, piala, cenderamata dan sijil dalam pertandingan tersebut berkata, kejayaan cemerlang itu datang dengan izin ALLAH SWT, doa ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan.

“Sebenarnya, saya bukanlah pelajar bijak cuma saya akan sesuaikan mengikut keutamaan dalam sesuatu perkara.

“Umpamanya ketika musim peperiksaan, saya akan utamakan ulang kaji pelajaran dan sekiranya mempunyai masa luang, saya akan selitkan dengan bacaan al-Quran.

"Orang kata jangan kosong, selitkan sikit, insya - ALLAH,” ujarnya.

Kata anak bongsu daripada empat beradik itu lagi, amalan memelihara al-Quran dan mendapat bantuan daripada guru-guru telah membantu dirinya menguasai mata pelajaran sekali gus menjadi seorang hafiz 12A.

Muhammad Asyraf yang mewakili negeri Johor memperolehi keseluruhan markah sebanyak 97.33 peratus dalam MTHQK.

Selain beliau, Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi dari Selangor turut dinobatkan sebagai pemenang kategori hafizah (hafazan 1 hingga 20 juzuk).

Artikel Berkaitan:

MTHQK 2024, program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei dan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara.

Perasmian penutupan telah disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok