Jika calon tidak duduki kertas Bahasa Melayu, secara automatik mereka gagal dalam SPM. Gambar hiasan
Jika calon tidak duduki kertas Bahasa Melayu, secara automatik mereka gagal dalam SPM. Gambar hiasan

SPM 2025: Semoga tiada lagi isu calon tidak hadir duduki peperiksaan!

07 Feb 2025 08:10pm

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang bermula 2 Disember tahun lalu telah dikejutkan dengan ketidakhadiran 10,000 calon peperiksaan.

Jumlah itu terlalu tinggi dan sukar diterima logik akal apatah lagi mereka sepatutnya menduduki kertas Bahasa Melayu (BM) iaitu subjek wajib lulus dalam SPM.

Jika mereka tidak mengambil kertas (BM) itu, secara automatik gagal SPM. Sedihnya. Menangis air mata darah sekali pun sudah tidak berguna lagi.

Di mana dan ke mana calon itu pergi, hanya ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui.

Sebelum ini, Pakar Sosiologi Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan mengenai punca calon tidak hadir ketika SPM berlangsung.

Pandangan itu merujuk kepada SPM 2023 di mana beliau berkata, percaya dan yakin akan gagal dalam peperiksaan itu, menjadi punca pelajar tidak hadir.

Selain itu, bencana, kemalangan atau kecemasan selain faktor masalah kesihatan kronik, sudah bekerja dan berkahwin, antara sebab calon tidak menduduki peperiksaan tersebut.

Ujar Anuar, kelemahan untuk menguasai mata pelajaran sejak memasuki menengah atas telah mendorong pelajar SPM buat keputusan tidak menduduki peperiksaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat dalam kalangan mereka merasakan penguasaan mata pelajaran mereka lemah, tidak dapat menguasai apa yang disampaikan guru dan akhirnya, membuat keputusan untuk tidak meneruskan peperiksaan SPM tahun berikutnya.

"Ada juga yang menghadapi masalah kesihatan, sudah bekerja bagi menampung keperluan hidup, berhadapan isu kecemasan seperti kemalangan dan sebagainya hingga memaksa tidak mengambil SPM," katanya menerusi hantaran video di laman Facebook pada Sabtu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp