No Image Caption

Impian guru Malaysia sempena tahun 2025!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
01 Jan 2025 07:00am

Begitu banyak kisah suka dan duka yang bersilih ganti sepanjang tahun 2024 membabitkan sektor pendidikan Malaysia.

Bermula dengan kisah kejayaan sehingga kepada bencana banjir yang melumpuhkan operasi sekolah, tetapi pelajar kita tetap berjaya mengharunginya. Namun, tahukan anda ada sosok di belakang anak-anak pelajar ini yang membanting tulang demi sekeping kejayaan?

Ikuti perkongsian harapan para guru Malaysia sempena tahun baharu 2025 ini.

No Image Caption



"Harapan saya pada tahun 2025 pastinya akan menjanjikan lebih banyak kejayaan dalam bidang pendidikan.

"KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) akan terus memperkukuhkan agenda reformasi pendidikan dengan memberi fokus kepada intervensi kurikulum, penyelarasan pra sekolah, STEM, TVET, memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI) selain menyediakan pelan pembangunan pendidikan masa hadapan selepas 2025 dan kurikulum baru persekolahan 2027.

"Menginjak tahun baharu ini, saya optimis pendidikan negara bakal menjadi lebih hebat dan besarlah harapan saya agar kita semua dapat berganding bahu meletakkan pendidikan negara ke tahap lebih baik demi usaha berterusan kita untuk melahirkan insan cemerlang dan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan." - Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan

No Image Caption



"Dengan pencapaian yang baik dalam subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), ramai pelajar dapat melanjutkan pengajian ke matrikulasi mahupun kolej.

"Adalah menjadi harapan yang tinggi pada tahun 2025 ini agar persepsi pelajar terhadap mata pelajaran akan lebih dapat ditingkatkan dengan teknik pengajaran digital dan bahan intervensi berfokus seperti Modul ICU SAINS, SMART C SAINS dan pelibatan dalam inovasi STEM secara konsisten.

"Semoga tahun 2025 menjadi landasan pembelajaran Sains dan aliran STEM lebih menyeronok serta menyumbang kepada aspirasi pelajar yang menjadi aset negara masa hadapan." - Guru Ikon STEM Papar 2022 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut, Sabah, Norazri Mat Piah.

No Image Caption



"Semoga tahun 2025 memberi impak lebih positif dalam semua bidang kemenjadian murid khususnya di bawah pengurusan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) agar anak Malaysia terus hebat melakar kejayaan di seluruh dunia." - Guru (PK Kokurikulum) Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat, Kapar, Azrina Hadzman.

No Image Caption



"Sebagai seorang guru, harapan saya untuk tahun 2025 adalah agar dunia pendidikan terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi, sehingga pembelajaran semakin efektif dan mudah bagi semua murid.

"Saya berharap dapat memberikan pengalaman belajar yang lebih personal dan relevan bagi setiap murid, memperkuat keterampilan kritis dan kreatif mereka, serta membimbing mereka untuk menjadi individu yang mandiri dan berfikiran terbuka.

"Selain itu, sistem pendidikan semakin inklusif dan berfokus pada pengembangan karakter serta kesejahteraan mental murid, agar mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan." - Guru SK Rendah Islam Hidayah, Johor Bahru, Mohamad Fadzil Edris.

No Image Caption



"Semoga Tahun 2025 memberi sinar cemerlang dalam semua bidang kepada seluruh warga pendidik khususnya dalam pembentukan adab, kelestarian sahsiah terpuji, jati diri, rohani dan pendidikan manusiawi.

"Teruskan berusaha, tekadkan azam, semangat serta cita-cita yang tinggi agar menjadi pendidik yang berjaya di dunia dan akhirat." - Guru Besar SK Bukit Changgang, Banting, Mohamad Ali Alimin

No Image Caption



"Kehadiran 2025 ini akan saya manfaatkan untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam lagi terhadap dunia digital selaras Dasar Pendidikan Digital untuk memantapkan PdPC (Pembelajaran dan Pemudahcaraan) di bilik darjah dalam usaha mewujudkan sesi pembelajaran lebih bermakna, interaktif dan menarik untuk murid-murid saya." - Guru SK Abdul Samat, Mohd Haiqal Abdullah Chik

No Image Caption



“Semoga tahun 2025 menjadi tahun untuk saya terus bersemangat mendidik anak bangsa, kreatif menyampaikan ilmu, konsisten untuk sentiasa berkongsi ilmu dan memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat." - Guru SMK Sungai Pusu, Gombak, Saibahtul Islamiah Rosly

Artikel Berkaitan:

No Image Caption



"Selamat Tahun Baharu kepada semua rakan pendidik di Malaysia. Teruslah menjadi inspirasi bagi generasi muda hari ini. Semoga tahun ini, kita diberi kesihatan, kekuatan dan semangat baru untuk mendidik anak bangsa kita." - Guru SMK Telok Kumbar, Pulau Pinang, Mohamad Syaiful Karim.

No Image Caption



"Alhamdulillah tahun 2024, pelbagai kejayaan dan kenangan pahit manis dalam lembaran pendidikan.

"Harapan dan misi saya agar tahun 2025 lebih banyak kejayaan dapat dicapai dan semua guru terus bersemangat dalam memastikan tercapai tujuh teras nadi keunggulan KPM. Ini adalah tahun akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan saya percaya semua guru telah lakukan yang terbaik dalam setiap aspek dan hasilnya boleh dilihat kini.

"Semoga 2025 lebih banyak kejayaan dicapai terutama dalam bidang STEM dan pengukuhan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Tahniah dan teruskan perjuangan buat semua guru-guru." - Guru SK Seri Kampung Tengah, Kluang, Johor, Noor Halini Allias.

No Image Caption



"Selamat menyambut Tahun 2025 daripada Cikgu Annetta buat seluruh warga pendidik dan murid-murid seluruh Malaysia.

"Jadikan tahun 2024 sebagai motivasi serta pengalaman untuk mengharungi sinar baharu 2025. Tekad, azam dan terus berusaha ke arah mencapai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

"Buat murid-murid seluruh Malaysia, teruskan menjadi murid dan pelajar yang penuh adap dan sopan." - Guru SK Dato Laksamana Raja Mahkota, Teluk Intan, Perak, Annetta Zaity Zainal

No Image Caption



"Semoga kita kembali kepada pengertian pendidikan yang sebenar. Biarlah anak-anak kita diasuh dan dididik supaya kelak boleh berdikari, berkemahiran, mempunyai kebolehpasaran dan menjadi warganegara yang baik dan kembali menyumbang.

"Jangan biarkan murid kita sekadar memuntahkan kembali apa yang dipelajari dalam peperiksaan, namun tidak mampu aplikasikan dalam kehidupan harian." - Guru Perpustakaan dan Media Cemerlang, SMK Sultanah Bahiyah, Dr Zuridah Hanim Md Akhir

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp