Sukan tahunan Taarana inspirasi pelajar kurang upaya
Hari sukan tahunan bagi Sekolah Pendidikan Khas Taarana, Petaling Jaya, Selangor berjaya memupuk semangat kesukanan dan nilai kerjasama dalam kalangan para pelajarnya.
Diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu, pelajar Taarana (mercu tanda pendidikan dan terapi khusus untuk kanak-kanak yang mengalami masalah kognitif dan deria) telah mempamerkan bakat luar biasa dan membuktikan kegigihan mereka yang kebolehan masing-masing sememangnya tiada batasan.
Sukan tahunan Taarana dimulakan dengan kumpulan pelajar berarak dalam formasi kawad sambil mengenakan rona kebanggaan rumah pasukan masing-masing iaitu merah, biru dan hijau.
Kemudian, mereka melakukan aktiviti senamrobik dan acara permainan sukaneka.
Dalam permainan Harvesting Berries, pelajar menunjukkan ketangkasan sewaktu mengumpul bola berwarna sama dengan warna pasukan mereka.
Pertandingan Petanque pula, mereka menggunakan koordinasi tangan dan mata sambil berusaha memukul bola paling dekat dengan sasaran gol.
Turut serta, kelompok ibu bapa turut beraksi dalam Wheels of Pong di mana mereka mengimbangi bola ping pong atas sudu dan berlumba ke arah garisan penamat.
Pasukan biru muncul sebagai pemenang manakala merah dan hijau, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Pendidikan Khas Taarana, Dr Sunitha Sivakumaran bangga dengan pencapaian semua pelajarnya.
“Sukan tahunan adalah bukti kegigihan dan ukuran potensi pelajar.
“Ia membuktikan komitmen kami di Sekolah Taarana adalah untuk memperkasakan pelajar dalam mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.
Turut hadir pada sukan tahunan tersebut adalah Pengarah Urusan Kumpulan QI, Kuna Senathirajah; Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran, Boey Kho; Pengarah Pembangunan Perniagaan, Krishna Kumar; Pengarah Pemasaran dan Jualan, Pathman Senathirajah dan beberapa eksekutif kanan.
Dalam pada itu, wakil bapa, Profesor Madya Dr Annapurny Venkiteswaran memuji impak transformatif acara itu.
“Melihat anak berubah sewaktu di Taarana membuatkan saya bangga.
“Saya yakin dan percaya bahawa persekitaran yang meraikan kepelbagaian adalah penting untuk memupuk pertumbuhan positif individu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sunitha berkata, Sekolah Pendidikan Khas Taarana nekad dengan usaha menawarkan sokongan dan peluang komprehensif untuk para pelajarnya melalui dua inisiatif baru yang akan diperkenalkan kelak.
“Zero Waste @ Taarana mendidik pelajar tentang proses kitar semula dan memupuk kesedaran alam sekitar yang lebih luas melalui aktiviti praktikal dan projek seni serta tanggungjawab ekologi.
“Manakala Kafe Taarana iaitu sebahagian daripada program EmpowerMe, akan menjalankan aktiviti kedai makan berasaskan sekolah di mana pelajar pra-vokasional mempelajari tentang penyediaan makanan, perkhidmatan pelanggan dan kerja berpasukan untuk potensi pekerjaan pada masa hadapan.
"Inisiatif ini melambangkan komitmen Taarana terhadap pendidikan holistik, di mana mereka belajar menjadi warganegara bertanggungjawab sambil memperoleh kemahiran vokasional yang berharga,” jelas beliau.