Sukarelawan pengawas peperiksaan: KPM tetapkan 5 kategori kepada calon yang berminat
Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan lima kategori kepada orang awam yang berminat menjadi pengawas peperiksaan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2023.
Lima kategori pemohon yang dinyatakan KPM itu terdiri daripada Kategori 1: Pesara kerajaan di bawah skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan; Kategori 2 (pelajar institut pengajian tinggi awam, institut pengajian tinggi swasta, Institut Pendidikan Guru, lepasan asasi atau matrikulasi) dan Kategori 3 (guru Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri, sekolah swasta, Maktab Rendah Sains Mara).
Seterusnya, Kategori 4 (anggota kumpulan pelaksana atau pekerja kontrak kerajaan) dan Kategori 5 (kakitangan bukan kerajaan atau pesara kerajaan dan swasta).
Permohonan yang kini telah dibuka hingga 31 Oktober depan memerlukan calon mengemukakannya kepada Pengarah Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui pautan https://bit.ly/44KmnxL.
"Pemohon yang berjaya dan disenarai pendek sebagai calon sukarelawan akan dipanggil untuk sesi temu duga di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berdekatan.
“Manakala pemohon yang tidak menerima sebarang jawapan selepas sebulan dari tutup iklan adalah dianggap tidak berjaya,” ujar KPM.
Sementara itu, orang ramai yang berhasrat untuk menjadi pengawas peperiksaan, mereka dinasihatkan untuk memahami segala syarat permohonan dari KPM.
Terdapat enam syarat permohonan yang perlu dipatuhi mereka iaitu warganegara Malaysia; mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 65 tahun.
Syarat yang berikutnya adalah pemohon adalah pesara/mahasiswa kolej atau universiti yang sedang dalam tempoh cuti semester sepanjang SPM berlangsung atau lepasan sekolah, kolej atau universiti; bebas daripada sebarang rekod jenayah dan tindakan mahkamah serta mempunyai pengangkutan sendiri.
Semoga berjaya semua!