Untitled (8)
Untitled (8)

Tahniah, Program Patriotisme UiTM diiktiraf The Malaysia Book of Records

Nor Azma  Muhamat Laila
12 Nov 2021 02:41pm
A
A
A

SHAH ALAM – Program Patriotisme yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Komander Kesatria Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR).

Tiga pengiktirafan telah dianugerahkan iaitu Bilangan Video Patriotik Dimuat Naik Atas Talian Paling Banyak (45, 974 video), Jumlah Tontonan Paling Tinggi Siaran Langsung Facebook Dalam Program Patriotik (40, 182 penonton) dan Penyertaan Terbesar Dalam Pertandingan Slogan Patriotik (64, 422 peserta).

Pencapaian tersebut adalah melalui pelaksanaan dua program iaitu Tayangan Patriotisme berjudul Malaysia Prihatin (Dokumentari: Jubli Emas Rukun Negara) dan Malaysia Prihatin (Dokumentari : #KITAMESTIMENANG) di saluran MyKlik RTM pada 25 November 2020 bermula jam 8.15 malam dan Program Wacana Semarak Patriotik pada 9 Jun lalu (Rabu) jam 8.30 hingga 10.30 malam menerusi aplikasi dalam talian FB Live Pusat Kokurikulum, UiTM.

Menurut Naib Canselor, Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor, pencapaian ini amat luar biasa yang mana program patriotisme dianjurkan secara dalam talian melibatkan penyertaan terbesar walaupun ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

"Ini merupakan salah satu strategi UiTM untuk memperkasakan semangat jati diri dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa melalui pelaksanaan Modul Patriotisme secara berstruktur menerusi 209 kursus kokurikulum berkredit yang disertai oleh mahasiswa UiTM.

"Modul Patriotisme ini dibangunkan bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan patriotisme dalam diri mahasiswa selain mereka dapat didedahkan dengan proses pembentukan sebuah negara dan peranan mahasiswa untuk mempertahankan kedaulatan negara," ujarnya.

Tambah beliau lagi, modul yang dibangunkan ini adalah hasil sinergi Pusat Kokurikulum, Institut Kepimpinan Pelajar dan Pejabat Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu ini akan terus diperkemas dan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan agar terus relevan untuk memupuk semangat jati diri para mahasiswa UiTM.

"Pihak universiti melihat pemupukan semangat jati diri dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa UiTM adalah sangat penting kerana UiTM merupakan sebuah universiti mega yang berperanan untuk melahirkan graduan bangsa Melayu Bumiputera yang profesional dan setia kepada negara," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok