
Tahun depan masuk kolej! Pelajar Tingkatan 6 Machang dapat rumah 'baharu'
Pelajar Tingkatan Enam di Machang, Kelantan bakal menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa apabila sebuah kolej khas untuk mereka dijangka siap dan mula beroperasi tahun hadapan.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pembinaan Kolej Tingkatan Enam pertama di Machang kini giat dijalankan dan setakat ini berjalan mengikut jadual.
“Saya berpeluang meninjau tapak projek ini semasa lawatan kerja ke Kelantan. Insya-Allah, jika semuanya lancar, kolej ini akan mula dibuka kepada pelajar pada tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 bagi peringkat negeri Kelantan.
Dalam pada itu, Fadhlina turut memaklumkan bahawa prestasi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri tersebut kekal cemerlang dan konsisten.
Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya penyediaan infrastruktur yang kondusif selain mengekalkan kualiti guru dan pelajar.
“Sepanjang lawatan ini, saya sempat bertemu dengan para guru dan pelajar Tingkatan Enam untuk mendengar sendiri pandangan serta keperluan mereka. Pendidikan berkualiti tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.