Alam Haikal muncul sebagai pelajar cemerlang STPM SMK Machang. Turut meraikan kejayaannya adalah ibu tercinta (kanan).
Alam Haikal muncul sebagai pelajar cemerlang STPM SMK Machang. Turut meraikan kejayaannya adalah ibu tercinta (kanan).

Pelajar autisme SMK Machang raih PNGK 4.00 dalam STPM 2024!

24 Jun 2025 04:29pm

Siapa sangka anak ketiga daripada enam beradik yang dilahirkan dengan autisme, sebelum ini sering mengoyak buku dan hanya pandai membaca pada usia 10 tahun, berjaya memperoleh semua A serta Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Selasa.

Daripada 78 calon STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, Kelantan, Alam Haikal Jansari Anuar, 20, dari Kampung Air Berlaga di sini muncul sebagai pelajar cemerlang sekolah tersebut walaupun merupakan calon tunggal kategori orang kurang upaya (OKU).

Bercita-cita menjadi seorang guru, dia memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan A- bagi Bahasa Melayu.

Menurutnya, pencapaian cemerlang tersebut di luar jangkaannya kerana hanya mensasarkan PNGK 3.5.

Alam Haikal memberitahu bahawa setiap hari dia meluangkan masa enam jam untuk mengulang kaji pelajaran iaitu bermula jam 4 hingga 7 petang dan 3 hingga 6 pagi.

"Saya juga tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajud dan menjadikan amalan membaca al-Quran setiap hari.

"Selain itu, untuk memahami sesuatu subjek, saya menggunakan teknik belajar yang berbeza-beza dan hanya fokus kepada satu mata pelajaran sahaja bagi satu hari,” katanya pada Selasa.

Menurut anak kepada pesara tentera itu, kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah penghalang untuk bersaing dengan pelajar normal lain.

Artikel Berkaitan:

Apa yang penting adalah fokus, usaha dan doa.

Sementara itu, ibunya, Norlaila Ismail, 54, seorang suri rumah memberitahu bahawa jika Alam Haikal berjaya memasuki universiti, dia merupakan anak pertama dalam keluarga yang akan ke menara gading.

"Sebagai ibu, saya dan ayahnya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Alam Haikal.

"Kami mempunyai tiga anak OKU termasuk Alam Haikal. Ini tidak mematahkan semangat kami untuk melihat anak-anak berjaya," katanya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp