Tahun lompat yang pertama dipercayai berlaku pada tahun 45 sebelum Masihi. Ia dimulakan Julius Caesar ketika masyarakat Rom terdahulu menggunakan sistem kalendar 355 hari.
Tahun lompat yang pertama dipercayai berlaku pada tahun 45 sebelum Masihi. Ia dimulakan Julius Caesar ketika masyarakat Rom terdahulu menggunakan sistem kalendar 355 hari.

Tahun Lompat 2024

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
29 Feb 2024 12:55pm

Bukan mudah untuk kita bertemu dengan tahun lompat.

Ini kerana, ia hanya berlaku setiap empat tahun dengan jumlah harinya sebanyak 366 hari tahun ini (berbanding 365 hari tahun biasa) mengikut kalendar Gregorian (yang paling umum digunakan di dunia).

Berbicara tentang tahun lompat, mungkin ramai tertanya-tanya tentang sejarah dan cara pengiraan tahun lompat dibuat.

Jom, Sinar Bestari kongsikan info ringkas untuk pengetahuan kita bersama.

Sejak bila bermula?

Tahun lompat yang pertama dipercayai berlaku pada tahun 45 sebelum Masihi. Ia dimulakan Julius Caesar ketika masyarakat Rom terdahulu menggunakan sistem kalendar 355 hari.

Dalam sistem itu, mereka menambah satu bulan yang mempunyai 22 atau 23 hari setiap dua tahun bagi memastikan perayaan jatuh pada musim yang sama setiap tahun.

Bagi memudahkan pengiraan, Julius bersama pakar astronominya, Sosigenes mencipta kalendar 365 hari dan menambah satu hari dalam bulan Februari pada tahun keempat.

Artikel Berkaitan:

Kenapa perlu ada tahun lompat?

Hari-hari lompat ini diwujudkan untuk memastikan kalendar Gregorian yang kita gunakan kini selari dengan pergerakan bumi mengelilingi matahari.

Bumi mengambil masa selama 365.242189 hari atau 365 hari, lima jam, 48 minit dan 45 saat untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi matahari.

Ia dipanggil tahun tropika dan bermula pada ekuinoks bulan Mac, detik matahari berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa.

Dalam peristiwa itu, matahari akan berada betul-betul di garisan Khatulistiwa untuk tempoh 24 jam.

Pada hari itu, tempoh masa siang dan malam akan sama panjang iaitu 12 jam bagi seluruh dunia.

Namun, kalendar Gregorian hanya mempunyai 365 hari setahun. Jika kita tidak menambah satu hari lompat pada 29 Februari hampir setiap empat tahun, kalendar setiap tahun akan bermula enam jam lebih awal sebelum bumi menghabiskan satu pusingan lengkap mengelilingi matahari.

Kesannya, perhitungan masa kita akan berubah dari tahun tropika dan menjadi tidak selari dengan musim-musim sepanjang tahun.

Dengan sisihan kira-kira enam jam setahun, musim-musim akan beralih kira-kira 25 hari kalendar dalam tempoh 100 tahun.

Sekiranya ini berlaku, penduduk di Hemisfera Utara akan menyambut Hari Krismas di pertengahan musim panas dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Justeru, hari lompat ini diwujudkan untuk memberi bumi masa tambahan diperlukannya untuk melengkapkan satu pusingan lengkap mengelilingi matahari.

Sumber: Earthsky, Thoughtco.com, Timeanddate

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp