cikgu-fadli-lembaga-tatatertib-perkhidmatan-pendidikan
cikgu-fadli-lembaga-tatatertib-perkhidmatan-pendidikan

Tekanan daripada rakyat Malaysia antara bukti saya tidak bersalah - Cikgu Mohd Fadli

Adlan Farhan Azwan
18 Oct 2022 11:28pm
A
A
A

“Antara sebab utama saya tidak dibuktikan tidak bersalah adalah tekanan yang diberikan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.” Itulah pandangan yang diberikan guru Matematik, Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh yang didapati tidak bersalah atas segala pertuduhan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan atas kelantangan beliau dalam menyuarakan isu pendidikan.

Menurutnya, tindakan yang dikenakan kepada dirinya itu berpunca daripada dendam orang tertentu kerana berani bersuara.

“Hukuman yang dikenakan tidak boleh diterima kerana segala kata-kata serta tulisan yang menegur beberapa dasar hanya menyebut perkara yang benar dan dibuat secara jujur.

“Surat yang diterima sebelum ini yang menyatakan kemungkinan untuk saya dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat adalah kezaliman yang nyata dan kesalahan tidak setimpal dengan denda yang hendak dikenakan,” katanya menerusi siaran langsung di laman Facebook beliau, malam tadi.

Beliau juga memaklumkan terdapat permainan daripada pihak tertentu yang benci dan takut dengan suara yang dilontarkan olehnya.

“Saya berpendapat secara peribadi, nampak ada permainan pihak tertentu yang benci dan takut dengan kelantangan suara saya sehingga mengugut sampai ke tahap maksima iaitu dibuang kerja.

“Disebabkan itu, masyarakat turut melihat perkara yang sama sehingga mendapat sokongan orang ramai walaupun mereka tidak pernah mengenali saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Cikgu Mohd Fadli turut berkata, keputusan tersebut adalah disebabkan bukti serta representasi yang kukuh dari pihak guamannya.

“Sekiranya hantaran saya pada tempoh hari tidak tular tanpa sokongan masyarakat Malaysia, saya positif tetap akan menang kerana tindakan yang cuba diambil itu jelas ada unsur kezaliman,” tambah beliau.

Sebelum itu, Lembaga Tindakan Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan untuk menggugurkan segala pertuduhan yang dikenakan terhadap guru Matematik, Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh sekali gus mendapati beliau tidak bersalah.

Menerusi surat keputusan yang tular di laman sosial pada petang tadi, Cikgu Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Namun, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan tetap memberikan kesalahan berkaitan prosedur penjawat awam.

Artikel berkaitan

Cikgu Mohd Fadli tidak bersalah dan bebas segala pertuduhan

“Syukur Alhamdulillah,” - ahli keluarga Cikgu Mohd Fadli

“Cikgu Fadli ni macam arwah abah. Kalau benda tak betul dia akan bertegas”


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok