Genivan berjaya merangkul tempat pertama di Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 di Ulaanbaatar, Mongolia.
Genivan berjaya merangkul tempat pertama di Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 di Ulaanbaatar, Mongolia.

Remaja Malaysia rangkul tempat pertama Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19

04 Nov 2025 02:51pm

Pemain catur muda berbakat Malaysia, Genivan Genkeswaran, 16, muncul juara dalam Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 yang berakhir baru-baru ini di Ulaanbaatar, Mongolia.

Genivan berjaya menewaskan peserta dari 16 negara termasuk Australia, China, Rusia, India, Indonesia, Korea, Singapura dan Vietnam dalam kategori Terbuka bawah 17 Tahun, menurut kenyataan Chess Master Journey.

"Kemenangan luar biasa ini melayakkan Genivan menerima gelaran berprestij FIDE Master (FM), gelaran langsung yang dianugerahkan kepada pemenang pingat emas bagi kategori U13, U15 dan U17 berdasarkan peraturan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE)," maklum kenyataan itu.

Sebelum ini memegang gelaran Candidate Master (CM), pencapaian kali ini menandakan langkah besar dalam perjalanan antarabangsa Genivan dalam arena catur.

Pengurus Chess Master Journey, Selvi Shanmugam berkata, gelaran FIDE Master itu akan menjadi pendorong buat Genivan untuk terus mara dalam mengejar cita-cita dan impiannya.

"Kami berharap beliau terus berkembang bukan sahaja sebagai pemain catur, tetapi juga sebagai individu yang memberi sumbangan positif kepada masyarakat," kata Selvi, yang juga Jurulatih Catur dan Pengadil FIDE.

Kemenangan ini bukan sahaja menyerlahkan kekuatan baharu Malaysia dalam arena catur, tetapi turut menambah senarai pencapaian antarabangsa negara.

Kejohanan yang berlangsung dari 24 Oktober hingga 2 November itu dianjurkan oleh Persekutuan Catur Mongolia di bawah naungan Persekutuan Catur Asia (ACF) dan FIDE, menghimpunkan pemain muda terbaik Asia dalam sembilan pusingan permainan yang sengit.

Artikel Berkaitan:

Edisi ke-19 kejohanan menampilkan kategori daripada bawah 7 hingga bawah 17 Tahun (Lelaki & Perempuan), memperlihatkan bakat muda terbaik rantau Asia. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Pemain catur muda Malaysia, Genivan Genkeswaran, menang Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19
  • Genivan menewaskan peserta dari 16 negara dalam kategori Terbuka bawah 17 Tahun
  • Kemenangan ini melayakkan Genivan menerima gelaran berprestij FIDE Master
  • Sebelum ini memegang gelaran Candidate Master, kini langkah besar dalam perjalanan antarabangsanya
  • Kejohanan ini menghimpunkan pemain muda terbaik Asia dalam sembilan pusingan permainan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp