Tercicir SPM di Perak menurun tahun ini - Exco
Berhenti kerana bekerja dan dibuang sekolah, antara sebab 655 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Perak tidak hadir menduduki peperiksaan itu walaupun sudah mendaftar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,106 calon 'tercicir' pada tahun lepas.
"Rekod di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mencatatkan 389 calon telah berhenti sekolah dan tidak hadir peperiksaan, manakala 124 murid lagi dibuang daripada sekolah akibat masalah disiplin dan lain-lain kesalahan.
"Selain itu, faktor pasca Covid-19, mereka sudah merasakan bahawa bekerja itu sudah cukup menjana pendapatan hingga tidak memikirkan peperiksaan selain masalah keluarga, kemalangan, pindah sekolah swasta termasuk ponteng," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Sekolah Izuddin Shah, Perak pada Selasa.
Khairudin berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan telah menjalankan pelbagai program intervensi bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Yayasan Perak bagi mengurangkan isu keciciran calon SPM.
"Melalui agensi yang terlibat kita lakukan program ziarah ke rumah murid-murid ini, kita dekati dan selami apa permasalahan yang timbul.
"Selain program ziarah, kita turut tumpukan kepada sekolah yang mempunyai ketidakhadiran murid yang tinggi untuk diberikan kursus motivasi, ceramah serta program yang khusus agar isu ketidakhadiran murid dalam peperiksaan SPM dapat dikurangkan setiap tahun," katanya.
Sementara itu, Khairudin ketika mengulas Program Hijrah Insaniah berkata, sebanyak empat buah sekolah di daerah Kinta telah dipilih bagi menempatkan 32 orang murid tingkatan satu luar bandar yang layak melalui program itu.
"Sekolah yang terlibat bagi program ini adalah Sekolah Izzudin Shah (SIS) melibatkan 10 orang murid, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun (sembilan orang), SMK Raja Perempuan (tujuh orang) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (enam orang).
"Murid-murid yang terpilih merupakan anak kelahiran negeri Perak yang berpotensi cemerlang dan daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan," katanya.
Tambahnya, murid terbabit akan di tempatkan di asrama sekolah harian yang terpilih dan Yayasan Perak akan menaja keperluan persekolahan termasuk yuran, keperluan asrama, buku, pakaian seragam sekolah serta wang saku sepanjang tempoh lima tahun pembelajaran. - Bernama