Rizam (dua dari kanan) melawat Azzehar (tiga dari kanan) di rumah mereka pada Selasa.
Rizam (dua dari kanan) melawat Azzehar (tiga dari kanan) di rumah mereka pada Selasa.

Tiada dokumen pengenalan diri, lima beradik tangguh ke sekolah

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIRMOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
14 Jan 2025 01:00pm

Seorang bapa meluahkan rasa bimbang mengenai masa depan lima anaknya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan berdepan kesulitan mendapatkan pendidikan formal seperti kanak-kanak lain.

Azzehar Che Mani, 52, berkata, masalah itu berpunca selepas dia bernikah dengan isterinya, Fitriani Efendi, 36, yang bukan warganegara.

Menurut Azzehar, isterinya berasal dari Medan, Indonesia dan mereka bernikah pada tahun 2011.

"Saya sudah beberapa kali membuat permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan buat isteri dan anak-anak, tetapi sehingga kini belum berjaya.

"Saya juga pernah mengupah ejen untuk menguruskan masalah kami, malangnya ditipu ribuan ringgit," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebuk Jawa Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor pada Selasa.

Azzehar dan Fitriani dikurniakan lima anak iaitu Afif Che, 14; Akif Che, 12; Arif Che, 8; Abdullah Che, 6, dan Ain Che, 3.

Dia memberitahu, meskipun berdepan cabaran tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah, itu bukan alasan untuk mengabaikan pendidikan.

"Buat masa ini, saya hanya mampu mengajar mereka mengenal huruf, membaca dan mengaji.

Artikel Berkaitan:

"Kalau setakat ajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris itu bolehlah sikit-sikit, tetapi tidak mampu mengajar pelajaran lebih susah seperti Matematik dan Sains," jelasnya.

Azzehar yang kini hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pengutip buah sawit memberitahu, sebelum ini dia bekerja sebagai operator pemasang talian telekomunikasi di ibu kota, namun pulang ke kampung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kehidupan saya sukar apabila pendapatan sebagai pengutip buah sawit tidak menentu lebih-lebih lagi kebanyakan pokok sawit di kampung sudah tua, jadi hasil buahnya kurang," tambahnya.

Sementara itu, Fitriani pula menceritakan pengalaman pahitnya sejak pertama kali tiba di negara ini pada 2010.

"Saya datang dengan harapan untuk bekerja di sebuah kedai baju, tetapi telah ditipu oleh ejen.

"Saya kemudian bekerja di sebuah salun rambut di Ampang dan seterusnya di kedai makan di Gombak dan kemudiannya bertemu jodoh dengan suami.

"Saya berharap masalah ini dapat ditangani segera kerana semua anak saya dilahirkan di sini, tetapi mereka tidak mempunyai dokumen diri yang sah," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail ketika melawat keluarga itu memberitahu, pihaknya bersedia untuk membantu keluarga itu dan berharap mereka dapat memberi kerjasama yang baik bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

"Saya sendiri bersama-sama dengan Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat), pimpinan masyarakat dan kampung telah menziarahi keluarga tersebut.

"Saya difahamkan Pegawai Daerah Sabak Bernam akan datang melawat keluarga ini dalam masa terdekat dan perkara ini akan diuruskan bersama dengan JKM.

"Penyelesaian ini penting bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pengiktirafan dan hak yang sepatutnya sebagai warganegara di samping dapat bersekolah serta mempunyai kerjaya baik pada masa depan," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp