Tirai besi bukan penghalang raih PHD, Murad berjaya buktikan kebolehan diri ubah masa depan
Setiap manusia melakukan kesilapan namun sekiranya ia melibatkan undang-undang pastinya mereka akan dijatuhkan hukuman yang selayaknya terhadap jenis kesalahan dilakukan.
Dengan tindakan undang-undang yang dikenakan sememangnya mengajar setiap individu untuk berubah menjadi lebih baik dan mereka seharusnya diberikan peluang kedua bagi mengubah masa depan menjadi lebih cerah.
Melihat daripada perspektif yang sama, baru-baru ini kita dikejutkan dengan perkhabaran membanggakan apabila seorang banduan yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PHD) semasa menjalani hukuman di dalam penjara.
Menerusi satu hantaran di Facebook Jabatan Penjara Malaysia, Murad (bukan nama sebenar) merupakan bantuan pertama yang meraih PHD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan selepas menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara.
Bagi Murad, segalanya tidak akan dicapai tanpa adanya dorongan serta peluang yang diberikan oleh pihak Jabatan Penjara kepadanya bagi menyambung pengajian sehingga berjaya menggenggam segulung PHD.
“Rasa syukur dan berterima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang dan ruang kepada saya untuk menyambung pengajian sehingga ke tahap ini.
“Segala jasa baik dari pihak Jabatan Penjara akan sentiasa dikenang dan percaya dengan peranan jabatan ini dalam memulihkan prospek seperti saya agar dikembalikan dengan lebih sempurna,” katanya.
Untuk makluman, Murad telah diberi pengampunan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan Baginda dan telah menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun.
Sebelum ini dia ditahan sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
Dalam pada itu, semasa proses pembebasan Murad suasana gembira dan hiba jelas terpancar di wajahnya setelah dibacakan waran pembebasan oleh Pengarah Penjara Kajang Preshahdin Monshee.
Preshahdin turut sempat menitip pesanan agar Murad sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri selepas dibebaskan.
Tambahnya, pihak jabatan juga sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan.
Sebelum ini, kisah Murad pernah menggemparkan seluruh negara apabila ketika dirinya baru menginjak usia 14 tahun dia dilaporkan telah mengakhiri riwayat majikan yang selama ini menganiaya dirinya.
Selepas 21 tahun menjalani hukuman kisah Murad bukan sahaja menceritakan tentang keinsafan atau taubat seorang hamba namun ia lebih daripada sekadar itu.
Meskipun tubuh badannya di sebalik jeriji besi, Murad berjaya membuktikan tiada halangan untuk dirinya menimba ilmu dan kini segenggam PHD adalah bukti keazaman dan ketekunannya.