Fadhlina
Fadhlina

Tiada kelas akademik pada minggu pertama persekolahan 2023/2024 – Fadhlina

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Mar 2023 01:08pm

“Minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang bermula minggu depan tidak melibatkan sebarang kelas akademik.

“Sebaliknya sesi persekolahan ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti selain Pengajaran dan Pembelajaran (PdP),” demikian kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi arahan terbaharu kepada semua sekolah.

Perkara itu dimaklumkan sebagai langkah memberi ruang kepada guru dan pelajar untuk sesi suai kenal dan interaksi terlebih dahulu pada minggu pertama persekolahan dibuka.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan arahan tersebut supaya minggu itu diisi dengan aktiviti-aktiviti seperti sesi suai kenal dan interaksi antara murid dan guru.

“Kita juga ada menggunakan pendekatan ABC iaitu (anak baik dan cerdik), biar mereka baik dahulu baru cerdik. Kita faham komitmen ibu bapa yang akan mengambil cuti setiap kali sesi persekolahan baharu dibuka bagi melayan karenah anak-anak,” ujarnya dalam sesi temu bual bersama sebuah radio pada Selasa.

Menurut Fadhlina, arahan terbaharu itu dibuat bagi mengelakkan tekanan kepada murid baharu terutamanya kepada mereka yang pertama kali menjejak kaki ke alam persekolahan.

“Pada awal persekolahan, kebanyakan murid pasti akan meragam dan seterusnya membuatkan ibu bapa merasai tekanan tersebut.

“Jadi kita hendak beri ruang kepada ibu bapa, guru-guru dan komuniti bersama anak-anak mereka pada sesi persekolahan baharu. Ia bertujuan untuk beri anak-anak selesa terlebih dahulu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, KPM turut memberikan kelonggaran kepada murid dan pelajar untuk memakai baju sukan yang bersesuaian semasa mengikuti aktiviti kokurikulum badan beruniform di sekolah.

Keputusan itu dibuat bertujuan meringankan beban ibu bapa sekiranya tidak mampu membeli set pakaian badan beruniform menjelang pembukaan sekolah nanti.

"Soal baju kokurikulum bagi badan beruniform di sekolah menjadi polemik dalam kalangan ibu bapa.

“Sekiranya tidak berkemampuan, murid dan pelajar boleh memakai baju sukan sekolah untuk hadir dan mengikuti semua program kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah masing-masing," jelas Fadhlina.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp