Tidak perlu guru dari Singapura, graduan kita ramai lulusan TESL - Warga maya
Pengumuman kerajaan untuk membawa masuk guru dari Singapura bagi mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris mengundang pelbagai pandangan dan pendapat warga maya yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Mereka berpendapat bahawa Malaysia mempunyai lambakan graduan berkelulusan bidang pendidikan terutamanya Teaching of English as Second Language (TESL) yang berupaya mendidik anak-anak murid setelah mendapat penempatan sekolah kelak.
Perkara ini boleh dilihat menerusi ruangan komen Facebook Sinar Bestari dan antara komen yang sempat dipetik adalah:
SKhadijah Mion: Saya tidak bersetuju akan hal ini. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah melatih ramai guru yang boleh mengajar subjek Bahasa Inggeris. Mengapa perlu guru dari negara jiran? Tindakan ini seolah-olah merendahkan kelayakan, kebolehan dan kemahiran guru Bahasa Inggeris.
Mahali Marwan: Di Malaysia, sudah ramai graduan TESL. Tidak perlu guru dari Singapura.
Azhari Misban Azri: Janganlah buat seolah graduan kita tiada kualiti. Padahal UM, UKM, UPM dan banyak lagi universiti dan kolej kita diiktiraf oleh dunia.
Zarianti Zamri: Banyak universiti dalam negara dan banyak juga graduan yang bagus. Jangan kata graduan memilih ya sebab yang memilih itu tidak ramai.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan setelah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru utnuk mengajar Bahasa Inggeris di beberapa tempat.
Pengumuman itu bukan sahaja mencetuskan polemik warga maya malah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) juga berharap agar kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut.