upm4
upm4

Tiga pelajar UPM terima biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021

webadmin
17 Mar 2022 03:11pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA), di sini, baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan biasiswa peringkat doktor falsafah (PhD) kepada pelajar Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Mogesh Sababathy yang mengikuti pengajian dalam bidang pengkhususan Clinical Health (Stem Cells).

Selain itu, baginda turut mengurniakan biasiswa peringkat sarjana kepada Nur Amirah Syafiqah Salman yang kini meneruskan pengajian dalam jurusan pengkhususan Agro Science dan Nur Aina Izzati Mohd Mokhtar dalam pengkhususan Analytical Chemistry.

Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berharap dengan penerimaan BYDPA oleh tiga pelajar UPM itu akan menjadi contoh serta inspirasi kepada pelajar UPM yang lain.

“Pemberian biasiswa tersebut secara langsung membantu pelajar dari segi kewangan agar lebih fokus dalam mencapai kecemerlangan akademik,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ketiga-tiga pelajar UPM yang berjaya menerima biasiswa BYDPA sekali gus terus memacu kecemerlangan di dalam bidang pengajian masing-masing sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 dan penerima diberi penajaan untuk pengajian di universiti penyelidikan dalam negara dan universiti terkemuka dunia membabitkan bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok