Tingkatan Enam 'low class'?
Pembelajaran Tingkatan Enam masih kekal dipandang negatif oleh masyarakat di negara ini.
Ia seolah-olah Tingkatan Enam adalah pilihan terakhir bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan pengajian mereka.
Dek pendapat negatif itu, pelajar yang mendapat tawaran ke Tingkatan Enam akan mengalami perasaan rendah diri kerana rakan-rakan lain layak ke matrikulasi, asasi dan diploma.
Baru-baru ini, Sinar Bestari telah memuat naik hantaran tentang kelebihan Tingkatan Enam sebagai panduan kepada mereka yang sedang menimbangkan pembelajaran ke peringkat itu.
Rata-rata warga maya menyokong keinginan pelajar ke Tingkatan Enam dan memberi pelbagai kata-kata semangat serta motivasi kepada mereka.
Antara yang sempat dipetik adalah:
“Jangan takut masuk Tingkatan Enam. Tingkatan Enam memang susah sebenarnya, tapi cikgu-cikgu akan latih pelajar sampai pelajar mahir dan terbiasa dengan aliran Tingkatan Enam itu. Cuma pelajar kena rajin dan tidak boleh anggap Tingkatan Enam seperti zaman sekolah menengah seperti sebelum ini. Perlu rajin membaca, buat latihan dan berbincang dengan guru. Insya-ALLAH, pelajar akan terbiasa dengan didikan sebegitu. Kalau dah malas, masuklah mana-mana pun tetap tak ada hasil positif juga," tulis Haszira Muhamad.
"Bagi saya, Tingkatan Enam ini tempat orang-orang yang bijak. Siapa yang pilih, memang dia seorang yang pintar," kata Mohamad.
"Adik saya dapat 7A lebih dan dia pilih Tingkatan Enam untuk timba ilmu. Akhirnya, dia dapat masuk universiti. Kami sangat bangga," ujar Johari.
"Apa jua ilmu dan pendidikan, di mana dan bagaimana semuanya bagus untuk bina modal insan. Tiada istilah high atau low," jelas Hafidz.
"Tingkatan Enam best walaupun belajar di sekolah. Yang penting, dapat gred elok terus sambung ijazah macam matrik," tutur Sha's Sugarcraft.
"Kerajaan kena buat semua yang 6A ke atas wajib masuk Tingkatan Enam sebab mostly mereka boleh bawak. Bawah 6A, masuk IPTA dan IPTS. Jadi kesamarataan dan balance boleh dicapai," tegas Daud Dawn.
"Kelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Tingkatan Enam memberi peluang kepada pelajar untuk memohon pekerjaan atau melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional. Beberapa program profesional di universiti memerlukan kelayakan akademik yang tinggi dan STPM sering kali dianggap sebagai satu kelebihan,” catat Aminah.
Akhir sekali, kami di pihak Sinar Bestari menyerahkan keputusan kepada lepasan SPM untuk membuat pilihan terbaik demi masa depan.
Semua peringkat pengajian seperti STPM, matrikulasi, asasi dan diploma ada kelebihan masing-masing.
Yang berjaya ke mana-mana destinasi, tahniah diucapkan. Belajarlah rajin-rajin dan banggakan ibu bapa serta guru-guru.