190821-mahathir khalid
190821-mahathir khalid

TNB peruntuk tajaan RM120 juta kepada 331 pelajar cemerlang SPM 2020

webadmin
19 Aug 2021 01:12pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan RM120 juta bagi tajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah kepada 331 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institutsi pengajian tinggi tahun ini.

TNB dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan daripada keseluruhan RM120 juta itu, RM35 juta diperuntukkan dalam bentuk biasiswa kepada 120 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, data sains dan analitik, sains komputer, perakaunan serta pengajian perniagaan.

TNB turut memaklumkan penerima biasiswa penuh berkenaan dipilih daripada sejumlah 8,400 pemohon di seluruh negara yang mengemukakan permohonan untuk biasiswa YTN merangkumi elaun sara hidup, yuran pengajian, kos pembelian komputer peribadi, buku dan lain-lain keperluan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, 100 penerima biasiswa YTN berkenaan akan melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), manakala baki 20 pelajar melanjutkan pengajian di universiti luar negara.

“Pelajar-pelajar ini membuktikan mereka mampu mendapat keputusan cemerlang meskipun terpaksa berdepan dengan situasi pembelajaran dalam talian berbanding pembelajaran secara konvensional iaitu secara bersemuka lantaran penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mahdzir berkata, YTN memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi pembiayaan seorang pelajar sepanjang tempoh pengajian di universiti luar negara, manakala RM120,000 hingga RM140,000 iaitu bergantung kepada bidang pengajian bagi pembiayaan pengajian seorang pelajar di UNITEN.

Beliau berkata penerima biasiswa YTN pada tahun ini dipilih berdasarkan faktor akademik, kualiti kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.

“Pelajar yang terpilih ini juga mempunyai peluang untuk menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak dan diharapkan dapat menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui TNB pada masa depan,” katanya.

Pada masa sama, Mahdzir berkata, tajaan biasiswa tersebut adalah satu lagi komitmen TNB untuk terus bersama rakyat, selain membantu usaha meningkatkan modal insan berkualiti bagi pertumbuhan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, TNB memaklumkan sebanyak 211 pelajar dengan peruntukan RM85 juta pula terpilih menerima pinjaman pendidikan boleh ubah untuk mengikuti pengajian di UNITEN dan universiti awam bagi mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Program Asas dan Ijazah Sarjana Muda.

YTN memperuntukkan lebih RM1.2 bilion sejak 1993 dengan memberikan peruntukan dermasiswa My Brighter Future (MyBF) berjumlah RM66 juta, biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok