Ahmad Zahid meluangkan masa berbual dengan Ayususeha di pejabatnya baru-baru ini.
Ahmad Zahid meluangkan masa berbual dengan Ayususeha di pejabatnya baru-baru ini.

TPM kagum kegigihan remaja Orang Asli sebagai pembantu am, bakal lanjut pengajian ke UiTM!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 Jul 2024 11:02am

Kegigihan seorang remaja yang bekerja separuh masa sebagai pembantu am, mendapat pujian daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di aplikasi X, Ahmad Zahid berkata, remaja yang dikenali Ayususeha Hamat merupakan pembantu am di pejabatnya dan baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata lagi, Ayususeha daripada suku kaum Orang Asli, berjaya mempamerkan prestasi begitu cemerlang dalam peperiksaan itu.

“Saya difahamkan bahawa dia (Ayususeha) telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Pentadbiran Awam.

“Ini adalah kegigihan dan dedikasi yang patut dicontohi oleh semua.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, namun adik Ayususeha berjaya menunjukkan kejayaan membanggakan dalam akademik, tahniah,” catat Ahmad Zahid di X pada Selasa.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara itu melahirkan rasa kagum terhadap Ayususeha yang bukan sahaja membawa kebanggaan kepada keluarga dan komuniti Orang Asli, tetapi juga memberikan inspirasi kepada ramai lagi pelajar yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya doakan semoga adik Ayususeha terus berjaya dalam pengajiannya di universiti nanti dan mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan,” tutur beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp