Untitled (62)
Untitled (62)

TPN dan HELP University (M) latih bakat masa depan untuk industri pelancongan

Nor Azma  Muhamat Laila
24 Nov 2021 07:15pm
A
A
A

PETALING JAYA – Program Malaysia Virtual Experience untuk Institusi Pengajian Tinggi (MyVXp HLIs) diharap mampu menangani cabaran keperluan tenaga kerja masa depan untuk industri pelancongan.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata program tersebut juga dirangka untuk menangani isu berkaitan ketidakpadanan kemahiran dan pengetahuan pelajar dengan kehendak industri serta ketidaksediaan graduan untuk memasuki industri pelancongan.

Program MyVXp HLIs yang dibangunkan oleh Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan sokongan MPC dan kerjasama HELP University (M) merupakan program kolaboratif industri-akademia berkonsepkan mentor yang melatih para pelajar di bidang pelancongan dan hospitaliti untuk menjadi hos bagi sesi pengalaman melancong dan mengenali produk pelancongan secara maya.

Projek MyVXp bermula pada tahun 2020 sebagai tindakan proaktif TPN dalam membantu pemain industri pelancongan untuk menjana semula pendapatan melalui pengalaman melancong dan mengenali produk pelancongan secara maya.

Menurut Abdul Latif, pada tahun ini, melalui kerjasama inovatif dengan HELP University (M), program berkenaan diperluaskan kepada kumpulan sasaran baharu iaitu para pelajar yang menuntut dalam bidang pelancongan dan hospitaliti di institut pengajian tinggi (IPT).

Gambar hiasan daripada internet.

“Program ini bertujuan untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan asas digital mengikut keperluan industri, membolehkan mereka menggunapakai aplikasi teknologi asas, dan menerapkan nilai keusahawanan melalui pembangunan produk pelancongan secara maya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program MyVXp HLIs secara maya, baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Naib Canselor, HELP University (M), Profesor Datuk Dr Paul Chan.

Majlis Pelancaran MyVXp HLIs secara maya ini turut disusuli dengan penyampaian sijil kepada para pelajar HELP University (M) yang berjaya menamatkan projek perintis program yang dilaksanakan pada bulan Ogos dan September 2021.

Ujar Abdul Latif lagi, antara keunikan MyVXp HLIs ialah sesi “pitching” oleh pelajar kepada industri pada akhir program berkenaan.

"Modul dan penyampaian program juga disesuaikan untuk memastikan MyVXp HLIs dapat membantu memenuhi keperluan industri malah input industri turut digabungkan dalam rangka akademik.

"Oleh itu, MPC berharap agar lebih banyak IPT lain dapat menjadikan MyVXp HLIs sebagai sebahagian daripada kursus atau program latihan mereka sekali gus membantu meningkatkan produktiviti sektor pelancongan untuk melahirkan bakat masa depan yang relevan dengan kehendak industri," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok