AQAN2
AQAN2

Trend sambung belajar ke Barat perlu ditukar - AQAN

Nor Azma  Muhamat Laila
13 May 2022 11:56am
A
A
A

CYBERJAYA - Negara ahli ASEAN Quality Assurance Network (AQAN) perlu agresif mempromosikan pengajian tinggi negara masing-masing bagi menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian ke rantau ini.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sudah tiba masanya trend ibu bapa menghantar anak untuk belajar di negara Barat bertukar ke Asia terutama di Asia Tenggara.

Katanya, bagi membolehkan hasrat itu dicapai, AQAN telah merangka Pelan Strategik 2020-2025 yang berteraskan lima tema iaitu matlamat menyeluruh, promosi /perwakilan, Kerangka Jaminan Kualiti ASEAN (AQAF), ulasan agensi dan pembangunan kapasiti.

"Dua perkara utama perlu diberi penekanan iaitu matlamat menyeluruh dan promosi yang menuntut kerjasama erat dalam kalangan negara ahli AQAN.

"Untuk masa depan, Rangkaian Pegawai Jaminan Kualiti Muda ASEAN (AYQON) yang bernaung di bawah AQAN akan menjadi pelapis untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi kita berada setaraf dengan negara maju," katanya.

Mohammad Shatar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Webinar AYQON 2022: Amalan jaminan kualiti semasa pandemik Covid-19: Cabaran, penyesuaian dan langkah ke hadapan, di sini, baru-baru ini.

Webinar yang dikendalikan oleh National University of Battambang (NUBB), Kemboja itu turut dihadiri Rektor NUBB, Sok Khorn; Penasihat AYCON, Profesor Zita Mohd Fahmi dan Ekaphong Lauhathiansind serta Presiden AYCON, Tep Neavea.

Sempena webinar itu, Ketua Penilaian dan Pensijilan bagi Bahagian Institusi Pengajian Tinggi, Pejabat Standard Pendidikan Kebangsaan dan Penilaian Kualiti Thailand, Dr Suchaya Sangcharoon; Setiausaha, Lembaga Eksekutif Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi, Indonesia, Dr Tjokorde Walmiki Samadhi serta Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Muhammad Hasfarizal Kamaludin membentangkan perspektif agensi masing-masing mengenai amalan jaminan kualiti semasa pandemik Covid-19.

AYQON yang ditubuhkan pada 2015 berfungsi sebagai platform rangkaian untuk pegawai jaminan kualiti muda berumur 40 tahun dan ke bawah di ASEAN untuk meneroka keperluan pembinaan kapasiti, menggalakkan kerjasama dan pertukaran amalan baik, pengalaman serta menjalankan aktiviti berkaitan jaminan kualiti.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MQA berkata, dengan pelaksanaan Pelan Strategik AQAN yang digunakan sehingga 2025, negara ahlinya diyakini mampu meningkatkan kualiti pengajian tinggi seterusnya meningkatkan imej rangkaian badan jaminan kualiti itu.

"Bagi mencapainya, ahli AQAN memerlukan promosi yang agresif terutama dengan menyertai seminar antarabangsa secara aktif.

"Sekiranya semua negara ahli AQAN melakukan perkara sama, dunia pengajian tinggi global pastinya akan mengenali AQAN dan AYCON serta fungsinya sekali gus menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke rantau ini," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok