WhatsApp Image 2021-07-21 at 2.59.04 PM (1)
WhatsApp Image 2021-07-21 at 2.59.04 PM (1)

Tuah Cikgu Vadivelan! Bawa pulang teleskop dilengkapi kamera digital, eyepiece dan solar foil

webadmin
21 Jul 2021 03:07pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Planetarium Negara mengumumkan kejayaan seorang guru Sains dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jugra, Kuala Langat, yang terpilih sebagai salah seorang pemenang projek Telescope for All 2021, untuk menerima salah satu daripada 12 teleskop yang dibekalkan menerusi projek Outreach Global International Astronomical Union (IAU).

Planetarium Negara dalam satu kenyataan berkata, Vadivelan Sinnasamy dipilih sebagai salah seorang penerima Bresser 90/1200 Refractor Telescope, menerusi projek yang berlangsung secara maya dari 3 hingga 24 Mei lepas di Malaysia.

Menurutnya, Vadivelan berjaya menarik perhatian antarabangsa menerusi banyak esei yang dihasilkan antara lain menyatakan hasratnya untuk ‘membuka peluang kepada komuniti yang tidak memiliki keupayaan untuk memiliki sebuah teleskop bagi menarik minat pelajar kepada bidang astronomi dan mengkaji bintang serta objek angkasa’.

"Teleskop yang akan diterima Vadivelan sumbangan Bresser itu dilengkapi dengan kamera digital, eyepiece dan solar foil. Beliau boleh merekod dan memerhati imej menggunakan kamera digital dan berkongsi dengan komuniti dalam talian sepanjang tempoh pandemik ini.

"Teleskop itu juga boleh digunakan untuk memerhati bulan, planet-planet utama, dan satelitnya dalam sistem solar,” katanya dalam kenyataan.

Teleskop itu boleh mengesan ruang angkasa nebula (Mesier Object) seperti Orion Nebula, kluster globular dan bintang binari.

Projek Telescope for All 2021 dilancarkan serentak seluruh dunia di bawah kepimpinan IAU, Office of Astronomy Outreach (OAO) dengan kerjasama Stars Shine for Everyone (SSVI), Leiden University/Universe Awareness (UNAWE), National Astronomical Observatory of Japan (NAOJ) dan Bresser.

Program ini disasar untuk menyemai dan mengembangkan minat rakyat Malaysia dalam bidang sains angkasa, pada masa yang sama memupuk peluang sama rata bagi melanjutkan karier dalam bidang sains angkasa, dan sejumlah 172 permohonan telah diterima, namun hanya 38 permohonan disenarai pendek untuk penghakiman antarabangsa.

Kriteria bagi pemohon yang mengambil bahagian perlu melibatkan kreativiti tinggi, impak yang berkesan terhadap komuniti, komuniti terpilih, (komuniti yang tidak mempunyai keupayaan) dan perlu memiliki kemampanan bagi kesinambungan projek.

Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara yang disenarai pendek untuk usul program Telescope for All 2021 - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok