Hampir 80 peratus bumbung SMA Al-Falah mengalami kerosakan selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Rabu.
Hampir 80 peratus bumbung SMA Al-Falah mengalami kerosakan selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Rabu.

Tujuh sekolah di Terengganu rosak teruk akibat ribut, hujan batu

NURFARDLINA IZZATI MOKTARNURFARDLINA IZZATI MOKTAR
24 Oct 2024 05:10pm

Sebanyak tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan hujan batu di Kemaman, Terengganu pada petang Rabu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga buah sekolah telah diberi cuti peristiwa pada hari ini iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman dan SK Seri Kemaman berikutan kerosakan teruk di bangunan-bangunan kelas Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

"Tiga sekolah itu terpaksa ditutup hari ini berikutan banyak kerosakan dialami susulan bumbung diterbangkan angin dan bilik darjah juga tidak dapat digunakan.

"Keseluruhan sekolah yang mengalami kerosakan ialah tujuh buah sekolah termasuk SK Bukit, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Chukai, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Bukit Mentok.

"SMA Al Falah paling teruk terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung di sekolah itu diterbangkan angin," katanya kepada pemberita di Chukai, Khamis.

Pada Rabu, beberapa kawasan di daerah Kemaman mengalami kerosakan teruk akibat dilanda fenomena ribut dan hujan batu sekitar jam 4 petang.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lelaki patah kaki kanan kerana dihempap bumbung sebuah wakaf yang runtuh berdekatan Pantai Teluk Mak Nik, di sini.

Antara bumbung SMA Al-Falah yang rosak kerana diterbangkan angin dalam kejadian ribut.
Antara bumbung SMA Al-Falah yang rosak kerana diterbangkan angin dalam kejadian ribut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kes pokok tumbang dan bumbung bangunan diterbangkan angin.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, empat lagi sekolah yang turut mengalami kerosakan bumbung ialah SK Bukit Mentok, SMK Chukai, SMK Sultan Ismail dan SMK Bukit Mentok.

Beliau berkata, bagaimanapun, empat lagi sekolah ini masih dapat beroperasi dan tidak menjejaskan bilik darjah.

"Kerja-kerja pembersihan serpihan atap di kesemua sekolah itu akan dilakukan pada hari ini.

"Jadi kita sudah maklumkan kejadian ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai kejadian untuk pembaikian sekolah terlibat.

"Mengenai SMA Al Falah pula, Bahagian Pendidikan Islam akan membuat permohonan untuk pembaikian dengan kerajaan negeri kerana sekolah ini merupakan sekolah agama di bawah kerajaan negeri," jelasnya.

Dalam pada itu, Jelani memaklumkan pihaknya juga sedang membuat penilaian kerugian sebenar kejadian.

"JPNT telah memohon peruntukan kecemasan bagi membaik pulih semua kerosakan di tujuh sekolah terlibat.

"Pihak jurutera sedang membuat penilaian kerosakan yang berlaku.

"Kerja-kerja pembersihan giat dijalankan bagi memastikan sesi PdP dapat diteruskan seperti biasa Ahad depan," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp