HomeBuletinUiTM di kedudukan 105 QS Asia University Rankings 2022

UiTM di kedudukan 105 QS Asia University Rankings 2022

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini berada di kedudukan ke-105 dalam QS Asia University Rankings 2022 yang diumumkan semalam.

Pencapaian itu menyaksikan UiTM melonjak tiga anak tangga daripada kedudukan ke-108 pada tahun sebelumnya.

UiTM menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, kedudukan baharu itu meletakkan UiTM dalam 15.5 peratus universiti terbaik di Asia dan berada di tangga ke-10 daripada 36 universiti Malaysia yang mengambil bahagian.

“Sepanjang tempoh lebih lima tahun, penarafan UiTM menunjukkan trend peningkatan yang membanggakan iaitu daripada berada di kedudukan 158 pada tahun 2018 kepada pencapaian kedudukan terkini.

“Ini secara langsung menunjukkan pengukuhan keupayaan fakulti dan keyakinan umum terhadap prestasi UiTM,” katanya.

Tahun ini menyaksikan pertambahan 38 penyertaan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bahagian dalam penarafan di seluruh Asia adalah sebanyak 675 institusi.

Secara keseluruhan, QS Asia University Rankings menilai universiti berdasarkan 11 petunjuk utama dan tahun ini, UiTM mencatatkan peningkatan peratusan bagi dua petunjuk iaitu Reputasi Akademik (Academic Reputation) dan Pelajar Fakulti (Student Faculty).

Reputasi Akademik meningkat daripada 44.2 peratus kepada 48.5 peratus dan Pelajar Fakulti (Student Faculty) daripada 17.5 peratus kepada 18.1 peratus.

Reputasi Majikan (Employer Reputation) pula menjadi kekuatan utama UiTM pada tahun ini apabila berada pada kedudukan ke-48 di peringkat Asia.

Naib Canselor UiTM, Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor, merakamkan rasa syukur kerana UiTM berjaya mengharungi cabaran besar susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan terus menghasilkan penyelidikan serta pengisian pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

“Kejayaan UiTM adalah hasil usaha gigih semua staf yang terus menjalin usaha sama baharu sambil mengekalkan hubungan sedia ada melalui pelbagai aktiviti dan program maya sepanjang tahun.

“Usaha ini secara ketara telah menyumbang kepada ketampakan UiTM dan memberi pendedahan serta pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar,” ujarnya.

Menurut Prof Roziah lagi, proses untuk menyerlahkan ketampakan UiTM di mata dunia adalah satu usaha berterusan yang amat signifikan kepada universiti.

“Secara asasnya, ‘If no one knows us, we have no reputation at all’. Oleh itu, untuk mencapai matlamat ini, saya tekankan keperluan untuk memahami tiga darjah pemisah.

“Darjah pemisah itu membabitkan konteks kerjasama akademik dan penyelidikan yang melibatkan proses mewujudkan perkongsian bersama institusi lain, kerjasama dalam penyelidikan atau projek dan penjanaan atau hasil kajian yang memberangsangkan bagi semua pihak berkepentingan.

“Melalui pencapaian sebegini, UiTM akan dapat meningkatkan ketampakan, reputasi dan pengiktirafan universiti di peringkat dunia,” jelasnya.

Berbekalkan usaha yang konsisten dalam membina dan mengukuhkan jaringan penyelidikan serta komitmen berterusan untuk meningkatkan kualiti penyelidikan juga pengajaran dan pembelajaran, Prof Roziah menjangkakan matlamat untuk menembusi senarai 100 Universiti Terbaik Asia akan dapat dicapai dalam masa terdekat.

Antara pencapaian cemerlang UiTM ialah berada di kedudukan 651-700 dalam QS World University Rankings 2021 dan tangga 101-200, THE Impact Rankings 2021.

Bagi tahun 2020, subjek Hospitality and Leisure Management berada di tangga ke-31 dunia dan 12 daripada subjek UiTM tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject.

UiTM juga telah memenangi Anugerah Emas dalam kategori Best International Print-ads di QS APPLE Creative Awards 2020.

Dengan lebih daripada 900,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin di peringkat kebangsaan, industri dan global dalam mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang 2025.