ukmdoha2
ukmdoha2

UKM buka kampus cawangan di Qatar

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Apr 2022 05:58pm
A
A
A

BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal membuka cawangannya di Doha, Qatar yang akan membabitkan pengambilan pelajar sulung pada September ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pembukaan cawangan UKM di negara itu akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain daripada penawaran kursus serta memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.

“UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Sebagai sebuah universiti watan, kami akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik merentasi sempadan dunia.

"Pembukaan cawangan UKM di Doha adalah projek kerjasama dengan The Regional Group yang merupakan sebuah syarikat menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha.

Tambah Mohd Ekhwan lagi, The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan serta infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

"UKM pula bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti serta pengijazahan.

"UKM juga berbangga kerana dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, The Regional Group bersetuju untuk membiaya pembinaan kampus cawangan UKM di Qatar," ujarnya.

Menurut Mohd Ekhwan, program offshore dijangka mula ditawarkan pada Oktober depan dengan kumpulan pertama pelajar akan mengikuti program ijazah sarjana muda iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat), Kejururawatan dan Sains (Teknologi Kimia).

“Kita menyasarkan pelajar yang akan mengikuti pengajian di UKM cawangan Doha adalah dalam kalangan rakyat Qatar itu sendiri dan juga rakyat negara lain yang bekerja di Qatar serta dari negara-negara Teluk.

"Selain penawaran program secara offshore, pihak Qatar turut berminat untuk mendapatkan khidmat kepakaran UKM dalam kerja-kerja perundingan dan penyelidikan untuk projek-projek di Qatar," kongsinya.

Ujarnya lagi, melalui pembukaan UKM cawangan Doha, ia akan dapat meningkatkan penjanaan universiti di samping menyebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang lain ke peringkat antarabanga.

“Terima kasih kepada kerajaan Qatar kerana membenarkan UKM membuka cawangan di Doha dan saya percaya dengan kerjasama ini, UKM khususnya Malaysia dan Qatar dapat mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang,” tuturnya.

Pembukaan cawangan UKM di Doha telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan kerjanya di negara itu, baru-baru ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok