dwi1
dwi1

UMK dan UiTM meterai MoA program dwi ijazah

Nor Azma  Muhamat Laila
22 Feb 2022 11:37am
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi membangunkan Program Akademik Dwi Ijazah yang menggabungkan dua program ijazah sarjana muda daripada kedua-dua universiti awam (UA) tersebut.

Majlis menandatangani MoA telah disempurnakan oleh Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan UiTM diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor.

Turut hadir, Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK, Profesor Madya Dr Mohd Nor Hakimin Yusoff; Profesor Madya Dr Zulkifli Mohamed yang menjalankan tugas sebagai Rektor UiTM Cawangan Kelantan; Ketua Program Logistik / Koordinator Dwi Ijazah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK, Ts Razman Hafifi Redzuan dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM, Profesor Ts Dr Haryani Haron.

Nik Maheran berkata, menerusi perjanjian itu UMK dan UiTM menjadi UA pertama menawarkan Program Akademik Dwi Ijazah iaitu Sarjana Muda Keusahawan (Logistik dan Pengedaran) dengan Kepujian di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK manakala UiTM menawarkan program Sarjana Muda Sains Kepujian Statistik melalui Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

“Program ini akan mencapai 100 peratus kebolehpasaran pekerjaan (GE) dan menjadi penanda aras kepada program sedia ada bagi menjalinkan kerjasama untuk mewujudkan serta memperbanyakkan lagi program dwi ijazah antara universiti.

“Program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) dengan Kepujian di UMK adalah salah satu program yang telah mendapat pengiktirafan dari badan profesional iaitu The Chartered Institute of Logistics & Transport yang berpengkalan di United Kingdom.

“Program ini mempunyai jumlah GE tertinggi yang ditawarkan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan dengan jumlah purata seramai 300 orang graduan,” katanya.

Tambah beliau, seramai lima orang pelajar perintis ditawarkan untuk mengikuti program ini dan jangkaan pengambilan yang kedua adalah seramai 50 orang pelajar bagi kedua-dua universiti.

“Penekanan pembelajaran secara hibrid yang memasukkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama bersama pihak industri yang bukan sahaja telah menghasilkan pelajar holistik tetapi juga memenuhi keperluan pasaran terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Roziah berkata, kedua-dua program itu memperoleh status akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program Akademik Dwi Ijazah dua UA berbeza ini juga telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi pada 15 Mac 2019 sekali gus bakal melahirkan siswazah holistik dan berketerampilan dalam memenuhi keperluan guna tenaga di negara ini.

“Tempoh pengajian untuk Program Akademik Dwi Ijazah adalah minimum sembilan semester (4.5 tahun) dengan jumlah 179 jam kredit dan pengambilan pelajar bagi program itu melibatkan kemasukan melalui saluran kedua-dua universiti.

“Selepas tamat pengajian, pelajar program ini akan dianugerahkan dengan dua skrol iaitu Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dengan Kepujian (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) dari UMK dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik dari UiTM,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok