misibantuan2
misibantuan2

UMK teruskan misi bantuan banjir ke Terengganu

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Mar 2022 02:11pm
A
A
A

HULU TERENGGANU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meneruskan Misi Bantuan Pascabanjir Zon Timur melibatkan dua buah sekolah di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Menerong dan SK Betong.

Pegawai Tadbir, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMK, Mohd Hafizie Abd Rahman berkata, seramai 29 sukarelawan dan empat staf terlibat menjayakan misi gotong-royong dan pembersihan di dua buah sekolah tersebut.

Beliau berkata, pada hari pertama kumpulan sukarelawan UMK telah melaksanakan operasi pembersihan secara gotong-royong di SK Menerong, Ajil pada 6 Mac lalu.

“Manakala, pada hari kedua (7 Mac 2022) melibatkan operasi pembersihan di SK Betong, Ajil.

“Kumpulan sukarelawan membantu membersihkan kawasan sekolah yang dipenuhi lumpur akibat banjir yang melanda pantai timur baru-baru ini. Diharapkan pembersihan ini dapat membantu memulihkan kembali prasarana sekolah seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Program ini turut melibatkan wakil ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMK, wakil sukarelawan pelajar dari universiti-universiti awam yang lain dan wakil ahli Majlis Sukarelawan-Sukarelawan Malaysia yang bersama-sama turun padang bagi menjayakan misi bantuan pascabanjir.

Sementara itu, UMK turut mengagihkan bantuan kotak makanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) - UMK Prihatin kepada pelajar Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteran, Nurul Izzah Alias di kediamannya di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.

Sukarelawan misi bantuan turut berkunjung ke lokasi seterusnya iaitu kediaman pelajar Fakulti Sains Bumi, Muhammad Azwa Asyraf Azman, yang terletak di Jalan Mawar, Ajil, Terengganu.

Kedua-dua pelajar tersebut telah diuji dan terjejas akibat musibah banjir pada kali ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok