Untitled (64)
Untitled (64)

UMP, FeMAC rangka kerjasama perkasa program TVET

Nor Azma  Muhamat Laila
26 Nov 2021 06:07pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Persekutuan Pusat Bertauliah, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia (FeMAC) bakal memberi peluang kepada graduan kemahiran untuk menyambung pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan universiti ini.

Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi itu terbuka kepada graduan kemahiran lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

FeMAC merupakan sebuah badan bersekutu yang memayungi ratusan pemberi latihan kemahiran (Skill Training Providers) yang rapat dengan badan pengiktiraf seperti JPK dalam memperkasakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Kemahiran (TVET) bagi menyumbang kepakaran terhadap pembangunan negara.

Majlis menyaksikan Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts Dr Mohd Rosli Hainin menandatangani perjanjian persefaham (MoU) bagi pihak UMP manakala FeMAC diwakili oleh Presidennya, Azizul Mohd Othman dan Timbalan Presiden FeMAC, Ts Dr Ravinthiran Ramasamy.

Menurut Prof Yuserrie, kerjasama ini juga diharapkan dapat melebarkan lagi kemahiran mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah seterusnya ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Di samping itu, melalui kolaboratif ini juga, pihak FeMAC dilihat dapat membantu tenaga pengajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi untuk mendapatkan sijil kompetensi tenaga pengajar.

“UMP akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang misalnya menawarkan Program Akademik peringkat Sarjana Eksekutif kepada pengurusan tertinggi FeMAC melalui UMP Advanced.

"UMP juga akan memberikan tumpuan yang khusus dalam konteks peranan universiti sebagai rakan akademik kepada FeMAC,” katanya dalam majlis menandatangani MoU yang berlangsung di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Prof Madya Ts Dr Rusllim Mohamed dan Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan, Prof Dr Abdullah Ibrahim.

Tambah Prof Yusserie lagi, kerjasama ini juga bertepatan dengan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam jaringan hubungan kerjasama dengan pihak industri membabitkan penghasilan inovasi dan penyelidikan.

Sebagai salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP banyak menawarkan program-program teknikal seperti kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi selain daripada program-progam yang sifatkan sebagai ‘soft technical’ seperti komputer, sains dan pengurusan industri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok