UTeM pelopori penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempelopori penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan nasional.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus proaktif dan menyerlah ke hadapan bagi menyahut seruan negara serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melebar luaskan penawaran program dengan penubuhan FAIX.
"UTeM komited untuk menjadi penyumbang utama penghasilan 200,000 pakar AI dan 100,000 pakar Keselamatan Siber menjelang 2030 selaras dengan visi Malaysia sebagai pemimpin teknologi serantau.
"Pada masa yang sama, kami akan terus memimpin MTUN dan peringkat nasional dengan mempelopori inisiatif penubuhan fakulti baharu ini dengan gabungan dua elemen utama permintaan semasa dunia iaitu AI dan Keselamatan Siber.
"Selari dengan itu, perkara tersebut turut mengukuhkan bidang tujahan UTeM dalam ‘Advanced Manufacturing and Computing Technology’ melalui integrasi AI dan Keselamatan Siber,” ujarnya.
Massila berkata, UTeM memperincikan FAIX sebagai pusat kecemerlangan (CoE) bagi penyelidikan AI dan Keselamatan Siber menerusi integrasi penyelidikan bersepadu untuk membantu menyelesaikan cabaran semasa industri.
"Ini tentunya turut menjadi anjakan dalam kepelbagaian program pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di UTeM untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi menerusi program baharu merangkumi ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran dalam bidang AI, Keselamatan Siber dan bidang tumpuan khusus seperti Keselamatan AI dan Privasi Data.
"Kurikulum dan silibus program telah dirangka dengan teliti bersama input daripada pakar industri untuk memastikan relevansi dan standard yang tinggi di samping penawaran program pengajian ini akan melahirkan graduan berkelulusan AI dan Keselamatan Siber yang kompeten sekali gus diperlukan oleh pasaran kerja global,” jelasnya.
Katanya lagi, UTeM berpengalaman luas dalam bidang gabungan AI dan Keselamatan Siber kerana dua jabatan sedia ada di Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK) dikembangkan menjadi fakulti baharu.
"Justeru menjadi keterujaan kepada kami dalam merealisasikan proses lanjutan dan pelebaran program berintegrasi komprehensif AI dan Keselamatan Siber kerana kampus ini mempunyai kepakaran tinggi dan siri pencapaian unggul dalam kedua-dua bidang tersebut,” ujarnya.
Mengulas tentang operasi FAIX, Massila menyatakan gerak kerja penubuhan telah pun bermula pada tahun ini dan proses operasi sepenuhnya dijayakan dengan pengembelengan penuh pada awal tahun 2025.
Malah, FAIX akan mula menerima pelajar baharu bagi kemasukan tahun 2025/2026 yang dijadualkan pengambilannya pada Oktober nanti.