HomeBuletinUMT, IMEC meterai MoU

UMT, IMEC meterai MoU

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan IMEC Education Sdn Bhd (IMEC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi termasuk perkongsian kepakaran, staf dan kemudahan.

Kedua-dua institusi tersebut masing-masing diwakili oleh Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dan Ketua Pegawai Operasi IMEC iaitu Profesor Dr Selvaraj Oyyan Pillai.

Mazlan berkata, perjanjian itu antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua organisasi di samping meningkatkan lagi citra UMT.

“Kolaboratif antara UMT dan IMEC telah bermula pada tahun lalu serta beberapa program telah dianjurkan secara dalam talian disebabkan pandemik.

“Kami amat hargai kerjasama ini dan MoU yang dimeterai juga memberi fokus kepada pengukuhan bidang pendidikan selain perkongsian kepakaran, pertukaran staf, pertukaran pelajar, penganjuran aktiviti dan lain-lain.

“Dengan kerjsama ini adalah diharapkan agar UMT menerima lebih ramai pelajar terutamanya dari luar negara bagi program asasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), prasiswazah serta pascasiswazah,” katanya.

UMT antara universiti yang menawarkan kos pengajian lebih rendah dalam negara tetapi standard pendidikan setanding dengan universiti terkemuka.

Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains marin dan sumber akuatik itu telah berjaya melahirkan lebih 35,000 graduan sejak tahun 2003.