UMT setanding universiti terkemuka di Malaysia - Sultanah Nur Zahirah
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa bangga terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang kini setanding dengan universiti terkemuka lain di negara ini, meskipun pada usianya yang muda.
Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT bertitah pelbagai pencapaian yang ditempa UMT termasuk meraih lima bintang dalam Penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) pada 2022, amat membanggakan.
Baginda bertitah UMT juga telah dipilih sebagai hos penempatan Penyandang Kursi Sains Antartika Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan menerima peruntukan RM500,000 sebagai dana pemula aktiviti kursi tersebut.
"Beta berharap ini akan menyemarakkan lagi kecemerlangan akademik dalam bidang Sains Antartika di UMT dan memberikan impak yang membanggakan kepada penyelidikan Antartika Malaysia di peringkat antarabangsa," titah baginda pada Upacara Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen ke-21 UMT di Dewan Sultan Mizan di sini pada Ahad.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat pada majlis itu.
Dalam pada itu, Sultanah Nur Zahirah bertitah agar siswazah UMT sentiasa menjaga citra dan nama baik universiti.
Titah baginda, sebagai duta-duta kecil dalam masyarakat mereka perlu menunjukkan adab dalam kehidupan bermasyarakat dan hidup dengan pekerti yang mulia.
"Gunakan ilmu yang diperoleh sebaik-baiknya agar dapat memberikan manfaat kepada manusia dan hidupan sejagat. Pikul amanah dan tanggungjawab sebaik-baiknya dalam memberi khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama," titah baginda.
Sementara itu, Majlis Konvokesyen ke-21 UMT menyaksikan seramai 2,388 graduan diraikan dalam enam sesi yang bermula Ahad hingga Selasa.
Mereka terdiri daripada 46 graduan Ijazah Doktor Falsafalah, sarjana (150), sarjana muda (2,081) dan 111 diploma. - BERNAMA