umt2
umt2

UMT, UTAR meterai kerjasama pintar

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Jan 2022 04:54pm
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mengukuhkan kolaboratif dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam pembangunan teknologi penternakan ikan serta pengkomersialan.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, jalinan kerjasama strategik antara dua universiti itu telah bermula sejak dua tahun lalu.

“Kerjasama yang terjalin antara UMT dan UTAR bukan perkara baharu, ia bermula sejak tahun 2020 lagi. Antara fokus kerjasama kali ini ialah melalui projek geran padanan melibatkan bidang penternakan ikan yang mampan ke arah pengkomersialan.

“MoU ini juga sebagai platform perkongsian kepakaran meliputi penyelidikan, pemindahan ilmu, keusahawanan, program tanggungjawab sosial universiti, pertukaran pelajar dan staf serta peluang libat urus dalam siri penganjuran bengkel, seminar dan persidangan,” katanya.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Profesor Mazlan dan Presiden UTAR, Profesor Ir Dr Ewe Hong Tat.

Menurut Profesor Mazlan lagi, pihaknya berterima kasih kepada UTAR dalam membantu UMT menyumbang kepakaran bagi mewujudkan e-Fulfillment Centre.

“Selain itu, UMT turut menyambut baik kepakaran UTAR dalam membantu UMT untuk merealisasikan penubuhan e-fulfilment centre dalam kampus UMT.

“Pusat ini dijangka dapat memberi peluang kepada staf, pelajar dan alumni UMT untuk menjalankan aktiviti pengurusan logistik barangan, keusahawanan, latihan praktikal dan mewujudkan peluang pekerjaan,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerjasama pintar itu akan memberi impak besar serta meningkatkan peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi, menjana pengetahuan dan teknologi serta memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok