1c785347-3bd3-4c2f-a4c1-b2e732b9237e
1c785347-3bd3-4c2f-a4c1-b2e732b9237e

‘UniMAP@Global’ inisiatif terkini pasca Covid-19

webadmin
24 Jun 2021 03:30pm
A
A
A

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggariskan beberapa strategi khusus menerusi inisiatif ‘UniMAP@Global’ khusus untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar Antarabangsa ke universiti tersebut susulan situasi semasa terutama pandemik Covid-19 yang masih di tahap yang agak tinggi.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata, dalam mendepani cabaran aktiviti pengantarabangsaan tersebut, UniMAP kini memanfaatkan platform digital sepenuhnya dengan sebahagian besar aktiviti promosi dan lawatan dilaksanakan secara maya.

Prof Mohd Rizal yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP berkata, UniMAP bertuah apabila inisiatif tersebut mendapat sokongan sepenuhnya dari Chapter Alumni UniMAP di luar negara serta rakan strategik antarabangsa lainnya.

“Projek ini memberi fokus kepada aktiviti promosi secara maya melibatkan alumni dan rakan strategik antarabangsa UniMAP di luar negara yang bersetuju menempatkan “satellite office” UniMAP di universiti mereka selain turut bertanggungjawab sepenuhnya mengenalpasti peserta, mengatur, dan menyelaraskan sesi promosi secara maya.

“Apabila semuanya telah bersedia, sesi tersebut bakal dikendalikan oleh Unit Pemasaran dan Promosi (UPP) dengan kerjasama Pusat Libatsama Antarabangsa (CIE) UniMAP dan Pusat Perhubungan Alumni (PPA) UniMAP.

“Peserta yang berminat kemudiannya akan dihubungi bagi urusan selanjutnya seperti urusan pemilihan program, visa dan pas pelajar, yuran, dan pendaftaran,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Rizal berkata, konsep ‘UniMAP@gobal’ juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ke UniMAP secara signifikan dan berterusan.

Jelasnya, dalam situasi penyaluran dana kerajaan kepada sektor pendidikan tinggi di Malaysia yang semakin berkurangan, pelajar antarabangsa merupakan sumber kewangan tambahan yang penting bagi membiayai perbelanjaan universiti, khususnya perbelanjaan operasi.

Beliau seterusnya berkata, semenjak dimulakan awal tahun 2021 yang lalu, UniMAP telah menganjurkan beberapa siri promosi dan lawatan maya dengan rakan strategik di ‘satellite office’ di Indonesia, alumni UniMAP di Uzbekistan, Jordan, Yemen, dan Nigeria.

“Kita menerima maklum balas yang tinggi daripada pelajar di kesemua negara terbabit, namun ia juga harus disesuaikan dengan kelayakan akademik yang mana sehingga kini, 19 permohonan telah layak untuk mengikuti pelbagai program pengajian di UniMAP seperti program persediaan (English and Pre-University Preparatory Programme), program pengajian peringkat Sarjana Muda, Sarjana, dan Kedoktoran,”tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah CIE UniMAP, Prof Madya Dr Tunku Salha Tunku Ahmad berkata, selain ‘UniMAP@Global’, pihaknya juga turut melaksanakan insiatif Pusat Sehenti Untuk Pelajar Antarabangsa (OSCi) yang diselia oleh Alumni antarabangsa UniMAP.

Secara dasarnya, jelas beliau, OSCi menjadi perantara dan pemudah cara, serta membantu para pelajar antarabangsa UniMAP yang berhadapan dengan sebarang masalah sepanjang keberadaan mereka di UniMAP termasuk isu berkaitan akademik, visa dan insurans, penginapan, yuran pengajian serta asrama dan aspek kebajikan.

“Kedua-dua program ini merupakan jaminan kualiti UniMAP dalam memenuhi kehendak pemegang taruh dan pada masa sama menjadi pemangkin dalam membantu UniMAP memperbaiki kualiti program pengajian akademik dan penyelidikan serta meningkatkan keupayaan dan kualiti pelajar melalui persaingan antarabangsa.

“Jika ditinjau dari perspektif ekonomi, kemasukan lebih ramai pelajar antarabangsa akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi domestik di kawasan-kawasan yang terlibat.

“Meskipun terdapat pelbagai halangan dan cabaran dalam merealisasikan usaha ini, UniMAP komited menangani segala halangan proses pengantarabangsaan ini dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok