putrabiz3
putrabiz3

UPM jalankan aktiviti PutraBiz, sasar lahir usahawan pelajar

Nor Azma  Muhamat Laila
29 Apr 2022 08:49am
A
A
A

SERDANG – Kolej Tujuh Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan aktiviti keusahawanan iaitu PutraBiz bagi memberi peluang kepada pelajar kolej berkenaan untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan pelajar.

Pengetua Kolej Tujuh Belas, Profesor Madya Dr Jasronita Jasni berkata, program itu dapat memupuk kemahiran insaniah dalam diri pelajar serta boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Aktiviti ini juga dapat meningkatkan nilai keusahawanan dalam diri pelajar terutamanya ketika menjalani kehidupan norma baharu.

"Program PutraBiz ini juga dapat melahirkan watak graduan yang berdaya tahan mendepani cabaran mendatang seiring dengan Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021 – 2025,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Tujuh Belas, Aidil Wajdi berkata, aktiviti keusahawanan tersebut dapat memupuk minat pelajar dalam urusan jual beli sekali gus meningkatkan ilmu keusahawanan dalam diri mereka.

“Tidak dapat dinafikan aktiviti keusahawanan PutraBiz telah menjadi satu tarikan besar kepada mahasiswa dan pelbagai makanan dan minuman menarik yang telah dijual di sini untuk para pelajar dan juga staf UPM,” ujarnya.

Sekretariat Keusahawanan, MPK Kolej Tujuh Belas, Hao Rong pula berkata, aktiviti itu diadakan bertujuan untuk menyediakan tempat kepada pelajar mengisi masa lapang bersama rakan-rakan.

“Melalui program ini, pelajar dapat mencari wang saku dengan penglibatan dalam aktiviti keusahawanan serta memberi makna yang besar dalam kehidupan mereka dan dalam masa yang sama dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja unggul dari segi akademik malah aspek sahsiah," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok