uthm2
uthm2

UTHM anjur Program Peduli Warga Emas, serah sumbangan makanan dan kelengkapan perlindungan diri

Nor Azma  Muhamat Laila
25 Feb 2022 02:21pm
A
A
A

Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah (TRANSFORM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Peduli Warga Emas (PPWE) bagi membantu golongan warga emas yang memerlukan.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Johor, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Selatan, Penghulu Mukim 8 Sri Gading dan Ketua Kampung Parit Raja.

PPWE yang dilaksanakan ini bertujuan membantu golongan warga emas yang berpendapatan rendah agar mereka tidak merasa dipinggirkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Program PPWE, Dr Zahrul Akmal Damin, program ini diadakan bagi menzahirkan tanggungjawab UTHM dan beberapa agensi kerajaan lain iaitu YADIM Negeri Johor dan YKN Zon Selatan dalam memenuhi tanggungjawab sosial dengan melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat.

“Seramai 25 orang warga emas terpilih telah dibantu dalam program yang dilaksanakan ini. Secara simbolik, lima orang daripada warga emas terpilih turut menerima sumbangan bakul makanan daripada YADIM Negeri Johor dan kelengkapan perlindungan diri seperti pelitup muka serta cecair sanitasi tangan daripada YKN Zon Selatan.

“Sementara itu, lima orang warga emas terpilih yang lain telah dikunjungi dari rumah ke rumah bagi tujuan penyerahan sumbangan yang sama.

“Selebihnya, baki 15 daripada sumbangan ini telah diserahkan kepada ketua-ketua kampung dalam Mukim 8 untuk diserahkan sendiri kepada senarai penerima,” katanya.

Program ini turut dihadiri Timbalan Pengarah TRANSFORM, Dr Fauziah Ani; Pengarah YKN Zon Selatan, Nurul Zahrawaini Mohamad Nordin; Penghulu Mukim 8 Sri Gading, Mohammad Azar Aziz dan Ketua Kampung Parit Raja, Majdan Jamain.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, penggemblengan usaha dan tenaga dalam menjayakan PPWE adalah perkara murni yang dibuat oleh warga TRANSFORM dan semua pihak yang terbabit dalam program berkenaan.

“Pada masa depan, pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) mungkin boleh dirancang agar warga emas di Batu Pahat mempunyai tempat untuk melaksanakan aktiviti berdasarkan kepada keperluan mereka,” ujarnya.

Mohammad Azar pula berkata, pihaknya sangat menghargai sumbangan dan usaha yang dibuat oleh penganjur kerana telah memilih kawasannya untuk melaksanakan PPWE kali ini.

“Sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu warga emas di bawah kawasan pentadbiran di sekitar Parit Raja hingga ke Kampung Baru dan saya sebagai wakil sangat berterima kasih atas bantuan yang diberikan ini,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok