sejarah4
sejarah4

UTHM kenal pasti 25 tapak sejarah dan budaya, berpotensi sebagai aset warisan Batu Pahat

Nor Azma  Muhamat Laila
12 May 2022 11:47am
A
A
A

BATU PAHAT – Pasukan Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengenal pasti 25 tapak sejarah dan budaya yang berpotensi sebagai aset warisan serta penanda tempat bagi program Jejak Warisan di Batu Pahat, Johor.

Penemuan itu hasil pelaksanaan projek 'Kajian Potensi Pembangunan Kawasan Jejak Warisan (Heritage Trail)' di Bandar Penggaram, Batu Pahat, Johor yang diketuai Dr Indera Syahrul Mat Radzuan, di bawah geran yang diperuntukkan bagi Program Impak Sosial Masyarakat (PRISM), melalui inisiatif Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat, UTHM.

Menurut Indera Syahrul, Batu Pahat masih belum mempunyai profil pemetaan kawasan jejak warisan (heritage trail) yang komprehensif sepertimana terdapat di bandar-bandar bersejarah lain di Malaysia.

"Dengan pengenalpastian 25 tapak-tapak sejarah dan budaya ini, projek berorientasikan masyarakat ini telah berjaya mendokumentasi dan memprofil setiap aset-aset sejarah tersebut melalui penghasilan peta kawasan jejak warisan yang mengandungi diskripsi bagi setiap tapak dengan lingkungan radius 15 kilometer dari pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Titik pertama Jejak Warisan Batu Pahat ini bermula dari bangunan Kelab Jepun Lama yang didirikan pada 1925, iaitu sebuah bangunan tiga tingkat yang menjadi mercu tanda paling ikonik bagi Bandar Penggaram sebagai sebuah bandar pelabuhan.

Antara tapak sejarah yang dikenalpasti dalam projek Kajian Potensi Pembangunan Kawasan Jejak Warisan (Heritage Trail) di Bandar Penggaram, Batu Pahat, Johor.

Antara tapak-tapak lain yang tersenarai termasuklah rumah-rumah ibadat, deretan rumah kedai, pasar, bangunan milik kerajaan dan swasta, sekolah, monumen, rumah api sehinggalah kepada bangunan tinggalan (relic).

Titik ke-25 yang merupakan plot terakhir Jejak Warisan Batu Pahat ini ialah Perigi Batu Pahat yang merupakan sebuah tinggalan perigi batu purba yang dipahat oleh tentera Siam setelah tewas dalam peperangan menyerang Melaka semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah I (1446-1459).

Perigi yang berusia lebih lapan abad itu dinamakan sebagai Perigi Batu Pahat, sekali gus merupakan peninggalan sejarah tertua yang masih wujud di kuala Sungai Batu Pahat.

Tambah Indera Syahrul, kajian yang bermula pada Julai 2021 ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan.

Sebahagian daripada tapak sejarah yang disenaraikan di Batu Pahat, Johor.

"Idea projek ini pada mulanya telah dicetuskan oleh pasukan gerak kerja dikenali sebagai Edutourism@UTHM yang telah dibentuk di peringkat universiti sejak 2020.

“Pasukan kajian ini dianggotai oleh sembilan penyelidik termasuklah dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional dan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM)," ujarnya.

Sebelum itu, beberapa siri mesyuarat kumpulan fokus (FGD) secara maya telah diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil komuniti.

Jelas Indera Syahrul lagi, ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai potensi Bandar Batu Pahat yang juga dikenali sebagai 'Bandar Penggaram' iaitu kawasan yang unik daripada aspek ekonomi, sosio-budaya dan alam sekitar.

Sebahagian daripada tapak sejarah yang harus dipertahankan melalui penggemblengan usaha secara bersepadu antara pelbagai pihak.

“Antara pihak yang terlibat memberi input dalam kajian ini termasuklah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat, Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Tourism Johor, Pertubuhan ICOMOS Malaysia, Think City, Majlis Pemandu-pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta sekolah-sekolah terpilih di sekitar Bandar Penggaram.

“Kajian ini juga telah berjaya mewujudkan satu struktur kerjasama yang lebih kukuh khususnya di antara universiti dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Selain itu, projek ini juga mengguna pakai kuasa libat urus komuniti yang mana setiap pihak berkepentingan dilibatkan dalam proses kajian,” kongsinya lagi.

Satu laman web khas juga telah dibangunkan oleh Indera bagi merekodkan semua maklumat berkaitan tapak-tapak sejarah dan budaya di Bandar Penggaram dengan tujuan untuk merangsang inovasi baharu dalam bidang pelancongan, sejarah, warisan dan budaya tempatan melalui perkongsian maklumat berasaskan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Pengenalpastian aset-aset warisan yang terhasil daripada kajian ini adalah merupakan manifestasi sejarah yang harus dipertahankan melalui penggemblengan usaha secara bersepadu antara pelbagai pihak termasuklah universiti, agensi kerajaan, swasta, NGO dan komuniti setempat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok