1250691 (1)
1250691 (1)

UTM hasilkan tangan palsu 3D untuk kanak-kanak OKU Yaman

webadmin
29 Oct 2021 12:22pm
A
A
A

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghasilkan tangan palsu cetakan 3D manual bagi membantu kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di Yaman.

Tangan palsu itu dihasilkan menerusi inovasi sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan universiti itu, dengan kerjasama sebuah syarikat percetakan 3D, MyVista.

Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Ts Dr Mohd Najeb Jamaludin berkata, tangan palsu itu akan memberi manfaat kepada kanak-kanak OKU berusia enam hingga 10 tahun dan reka bentuk yang dihasilkan adalah khusus untuk individu yang masih mempunyai pergelangan tangan.

“Tangan palsu manual ini berfungsi sebagai terapi untuk melatih pemakainya menggunakan alat bantuan tangan pada peringkat permulaan, terutama yang baru sahaja terlibat dalam kemalangan, sekali gus membantu meningkatkan semula keyakinan,” katanya ketika ditemui di universiti itu.

Menurut Mohd Najeb, kanak-kanak terbabit akan diberi manual latihan penggunaan tangan palsu itu dalam Bahasa Arab dan menjalani penilaian yang dipantau TCRD.

“Istimewanya projek ini turut memberi sentuhan kemanusiaan dengan memperkenalkan proses rehabilitasi dan latihan secara berperingkat dan berkala.

“Sekiranya lulus latihan, TCRD akan bantu buat penilaian dan selepas itu baru kita akan menghantar tangan palsu daripada versi-versi lebih maju seperti yang menggunakan motor, bateri dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penghasilan tangan palsu itu dilihat bertepatan memandangkan sebahagian besar pelajar Yaman di UTM mengambil pengajian dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan.

“Apa yang kita harapkan, apabila mereka habis melanjutkan pelajaran di sini dan telah menimba ilmu, kepakaran teknologi ini boleh dibawa pulang untuk mereka membantu masyarakat di sana yang kini dilanda krisis peperangan,” katanya.

Mohd Najeb menambah, UTM telah bekerjasama dengan syarikat MyVista semenjak 2015 dalam usaha menambah baik pelbagai reka bentuk tangan palsu 3D dan elektronik, yang disumbangkan syarikat berkenaan kepada golongan OKU di negara ini dari pelbagai peringkat usia. BERNAMA

Artikel berkaitan 

Penyelidik UTM berjaya bangunkan alat khas bantu golongan buta warna 

Kepakaran penyelidik UTM dan UiTM dalam teknologi 3D berjaya hasilkan tangan palsu untuk mangsa ragut 

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok