konvokesyen_UTM
konvokesyen_UTM

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik

webadmin
24 May 2022 09:29am
A
A
A

Seperti yang kita tahu, kejayaan hanya akan datang sekiranya disertakan dengan usaha yang berterusan dan semangat tidak berputus asa.

Tidak kira sama ada kejayaan dari segi akademik, sukan, pekerjaan mahupun hubungan sesama manusia, resipi untuk berjaya tetap sama.

Kejayaan yang dimaksudkan itu telah berjaya dibuktikan oleh Eileen Khiu Xin Ying yang merangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kali ke-65.

Xin Ying telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam jurusan Juruukur Bahan.

Menurutnya, kunci kejayaan yang dikecapinya adalah hasil daripada disiplin diri dan pengurusan masa yang betul, terutamanya apabila terpaksa menghadapi pembelajaran dalam era pandemik Covid-19.

“Ketiadaan rakan di sisi ditambah persekitaran pembelajaran yang berbeza di rumah telah menggalakkan lagi diri saya untuk mewujudkan motivasi dengan sentiasa mempraktikkan dua prinsip tersebut dalam kehidupan seharian saya sebagai seorang pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia turut bergiat aktif di dalam program berasaskan keusahawanan, kepimpinan dan pertandingan akademik.

Antaranya, terpilih untuk menjalankan program pertukaran pelajar ke Beijing, China bersama 21 peserta lain yang datang daripada latar belakang berbeza di bawah program ‘Malaysia-China Youth Student Exchange Program (MCYEP) pada 2019.

Selain itu, penglibatan aktif dalam program Nescafe UTM juga telah menjadi platform utama bagi dirinya untuk menyerlahkan sikap keusahawanan yang dimiliki setelah memenangi pelbagai jenis pertandingan melalui program berimpak besar ini.

Mengulas lanjut, Xin Ying yang sering kali mencapai keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik semenjak dari bangku sekolah lagi tidak pernah melihat kelebihan itu sebagai suatu keselesaan.

Malah, ia telah menjadi faktor untuk menaikkan lagi semangatnya bagi meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Kini, dia berjaya menceburi bidang kerjaya sebenar sebagai seorang projek eksekutif di sebuah syarikat di Selangor dan dalam proses untuk mendapatkan gelaran Juruukur Profesional (SR) daripada Pertubuhan Juruukur DiRaja Malaysia (RSIM).

Artikel berkaitan 

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

Dua pelajar SMJK Katholik Petaling Jaya berjaya harumkan nama negara di persada dunia, rangkul 4 anugerah di ISEF 2022

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok